Malaysia Dateline

Lebih 1,000 anggota PDRM ditempatkan bagi PRK Rantau

Polis Negeri Sembilan akan menempatkan lebih 1,000 anggota bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berjalan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti negeri ACP Samad Yahya berkata untuk tujuan itu, semua anggota yang akan bertugas pada PRK berkenaan kini sedang menjalani persiapan awal.

“Kita sudah membuat latihan ‘Light Strike Force’ (LSF) serta latihan ulang kaji yang melibatkan undang-undang, siasatan dan sebagainya. Secara khususnya kita sudah bersedia menghadapi PRK tersebut…dengan persiapan rapi ini, saya yakin kita dapat mengendalikan PRK DUN Rantau ini dengan baik.

“Kita juga harapkan kerjasama daripada semua pihak, baik daripada parti-parti politik dan juga orang awam untuk bersama-sama menjaga ketenteraman. Walaupun PRK DUN Rantau dianggap ‘small scale’ tetapi kesannya besar sebab ia melibatkan calon ‘heavyweight’,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Perbarisan Peringatan Hari Polis Ke-212 Kontinjen Negeri Sembilan 2019 di sini.

Dalam pada itu, beliau juga menasihati mana-mana pihak supaya tidak mencetuskan provokasi semasa PRK berkenaan berlangsung dan menggunakan media sosial dengan bijak.

“Siasatan dan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov tahun lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, Mohamad yang kini menjalankan tugas-tugas Presiden UMNO menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dr S Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

DUN Rantau mempunyai seramai 20,926 pemilih berdaftar iaitu 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat orang pengundi tidak hadir luar negara dan daripada jumlah itu, 55.11 peratus atau 11,283 adalah pengundi Melayu, Cina (18.80 peratus atau 3,849), India (26.06 peratus atau 5,336) dan lain-lain (0.02 peratus atau empat).

SPR menetapkan hari pengundian PRK DUN Rantau pada 13 April ini manakala hari penamaan calon pada 30 Mac dan 9 April sebagai hari pengundian awal.

Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Bandar Sri Sendayan dijadikan sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

— BERNAMA