Lebih 1,000 rumah rosak di Kedah akibat ribut, kata Mukhriz

Lebih 1,000 rumah rosak di Kedah akibat ribut, kata Mukhriz
(kiri) Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyerahkan daging korban kepada jemaah di Masjid Pida 3 Jerlun semalam.

Sejumlah 1,358 rumah di semua daerah di Kedah mengalami kerosakan akibat kejadian ribut pada Jumaat malam, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Beliau berkata daripada jumlah itu, daerah Kuala Muda mencatatkan rumah paling banyak rosak iaitu 400 buah manakala di Kota Setar pula 260 buah.

Sehubungan itu, kerajaan negeri akan membantu penduduk terjejas dari segi menyediakan bantuan tambahan untuk mereka membaik pulih rumah yang rosak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Korban di Masjid Pida 3 di Jerlun pada Ahad.

Mukhriz berkata bantuan segera sebanyak RM300 telah pun disediakan untuk penduduk yang terjejas itu dengan jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat bertindak lebih awal turun ke lokasi terbabit menghulurkan bantuan sepatutnya kepada mereka.

Kejadian ribut itu juga menyebabkan seramai 39 pesakit yang mengalami kecederaan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan di seluruh negeri ini selain merekodkan satu kes kematian di daerah Kubang Pasu melibatkan seorang penunggang motosikal wanita berumur 27 tahun.

Di KANGAR, Kerajaan Perlis akan menyediakan bantuan membaiki rumah mangsa yang terjejas akibat ribut yang melanda negeri ini, kelmarin.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata bantuan berkenaan bergantung kepada kerosakan yang dialami keluarga terlibat.

“Kita akan bekerjsama dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan bantuan diterima kepada keluarga mengikut kesesuaian,” katanya ketika dihubungi, pada Ahad.

Semalam, Azlan mengadakan perjumpaan dengan Ketua-ketua Jabatan berkaitan dan wakil-wakil rakyat di negeri bagi membincangkan agihan bantuan kepada mangsa terlibat.

Beliau juga turut mengagihkan bantuan berupa keperluan asas sepeti makanan dan minuman kepada mangsa-mangsa.

Menurut Azlan, jumlah bantuan yang akan diberikan adalah antara RM5,000 dan RM30,000.

Beliau berkata seperti kejadian ribut sebelum ini, terdapat keluarga yang menerima bantuan membaiki rumah dan ada yang hanya mengalami kerosakan kecil seperti bumbung tercabut atau dinding yang runtuh.

Setakat ini jumlah rumah yang terjejas direkodkan sebanyak 883 buah, namun ada yang sudah disampaikan bantuan dan bakinya akan diselesaikan segera, katanya.

Kangar menjadi kawasan terjejas teruk dengan 303 buah rumah rosak namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini. – BERNAMA