Malaysia Dateline

Lebih 100,000 pekerja terima faedah Skim Insurans Pekerjaan

Seramai 109,102 orang menerima faedah penuh Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) dari 1 Jan hingga 31 Ogos 2019 melibatkan jumlah bayaran RM59.84 juta, persidangan Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata bagi tempoh berkenaan, jumlah caruman terkumpul SIP adalah RM426.32 juta.

“Sehingga kini 400,413 majikan telah mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah SIP melibatkan 6.5 juta pekerja,” katanya pada sesi soal jawab lisan kepada soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PH-Kapar) mengenai perkara itu.

Menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung kebajikan pekerja yang hilang pekerjaan seperti yang berlaku di beberapa syarikat media, Mahfuz menjelaskan kerajaan tidak mempunyai kuasa mencampuri urusan perniagaan sesebuah syarikat.

“Kami tidak boleh campur tangan terutama soal pengambilan pekerja yang telah dihentikan dan berapa jumlah pekerja yang akan diambil semula oleh majikan baharu,” katanya.

Beliau berkata setakat ini 483 bekas pekerja Utusan Melayu dan 39 kakitangan Karangkraf menerima manfaat SIP selepas hilang mata pencarian.

— BERNAMA