Malaysia Dateline

Lebih 350 ribu tandatangani petisyen kekalkan PKP

Petisyen menggesa kerajaan supaya mengekalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak membenarkan perniagaan dan aktiviti-aktiviti lain beroperasi semula selepas 4 Mei nanti telah ditandatangani oleh lebih 350,000 orang.

Sebuah kumpulan yang menggelar diri mereka Rakyat Malaysia Prihatin meletakkan petisyen berkenaan di Change.org.

Ia sebagai bantahan terhadap pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bahawa hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan di Malaysia akan dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat-syarat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa bermula Isnin ini.

Mereka menyifatkan keputusan kerajaan kerajaan untuk melonggarkan syarat PKP dengan membenarkan lebih banyak sektor dalam negara dibuka semula Isnin ini mungkin akan mengulangi kesilapan yang dialami negara lain, yang menyaksikan gelombang baharu Covid-19 selepas lockdown dilonggarkan.

“Kami merayu kerajaan Malaysia teruskan PKP dan batalkan PKP bersyarat segera.

“Kami tidak mahu kesilapan negara lain yang beri kelonggaran/batalkan PKP berulang di Malaysia.

“Kami tidak mahu barisan hadapan kami keletihan lagi.

“Kami tidak mahu kerajaan tunduk pada golongan kapitalis yang mementingkan keuntungan semata-mata tanpa memikirkan kesihatan dan kebajikan pekerja.

“Kami masih boleh teruskan PKP demi masa depan negara kami,”kata petisyen berkenaan.

Jumlah penandatangan petisyen berkenaan dijangka akan turus meningkat sehingga melebihi setengah juta esok.