Lebih 1,700 gerai bazar Ramadan diperiksa KPDNHEP Pulau Pinang

Lebih 1,700 gerai bazar Ramadan diperiksa KPDNHEP Pulau Pinang

Sebanyak 1,713 gerai bazar Ramadan di seluruh Pulau Pinang diperiksa dalam operasi yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri itu sejak 6 Mei hingga semalam.

Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata pemeriksaan secara berkala menumpukan kepada pemantauan harga supaya peniaga tidak menaikkan harga sewenang-wenangnya dan juga mempamerkan tanda harga.

“Setiap hari penguatkuasa KPDNHEP membuat pemeriksaan di bazar Ramadan dan setakat ini tiada kenaikan harga yang mendadak serta dalam keadaan terkawal, peniaga dilihat berniaga secara beretika.

“Setakat ini, seorang peniaga bazar Ramadan telah dikenakan kompaun RM100 kerana gagal menentu sahkan alat timbang untuk perniagaan dan kes ini disiasat menurut Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972,” katanya kepada pemberita  selepas membuat pemeriksaan di bazar Ramadan Masjid Bandar Perda, pada Selasa.

Pemeriksaan berkala ini yang membabitkan 130 penguatkuasa KPDNHEP negeri dijalankan bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Mohd Ridzuan berkata, tiada sebarang notis dikeluarkan ?di bawah Sekyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011? bagi kesalahan menaikkan harga makanan dan minuman sepanjang pemeriksaan di bazar Ramadan  seluruh Pulau Pinang.

Katanya setakat ini juga, tiada sebarang aduan diterima berhubung kenaikan harga makanan serta minuman di bazar Ramadan dan orang ramai yang ingin membuat aduan boleh menghubungi KPDNHEP Pulau Pinang di talian 04-2552555 atau talian bebas tol 1800 886 800.

Katanya pihaknya turut membuat pemantauan dan pemeriksaan barangan keperluan di seluruh negeri dan setakat ini ia mencukupi terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.- BERNAMA