Setiap tahun pastinya ramai anak perantau pulang ke rumah tercinta demi menyambut Hari Raya bersama orang tersayang.
Tidak hanya itu kesesakkan lalu lintas juga sukar dibendung meskipun sudah merancang perjalanan lebih awal.
Memetik Bernama, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjangkakan peningkatan jumlah trafik kepada 2.77 juta kenderaan sehari.
Ini adalah angka untuk kenderaan yang bakal menggunakan lebuh raya utama sempena cuti perayaan Aidilfitri.
Dalam kenyataan dikeluarkan LLM, sebanyak 2.1 juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya di bawah Kumpulan Plus.
Manakala kenderaan di Lebuhraya KL-Karak (216,000), Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (176,000), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 (156,000) dan LPT2 (70,000) pada hari puncak sepanjang tempoh perayaan ini.
“Pergerakan kenderaan keluar dari ibu kota menuju ke arah Pantai Timur, Utara dan Selatan tanah air dijangka akan menunjukkan peningkatan bermula hari ini.
“Ini adalah mengambil kira cuti sekolah tambahan Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2 hingga 4 April ini.
“Manakala aliran trafik kembali ke ibu kota akan menunjukkan peningkatan bermula 5 dan 6 April,” menurut kenyataan itu.
Disebabkan itu LLM mengambil beberapa langkah antaranya untuk memastikan tiada penutupan lorong syarikat konsesi lebuh raya kecuali bagi kerja kecemasan bermula 24 Mac hingga 7 April ini.
Tidak hanya itu, LLM memaklumkan semua kemudahan seperti parkir dan tandas sementara akan disediakan untuk menampung keperluan pengguna.
Pada masa sama, bekalan minyak di stesen-stesen minyak juga akan dipastikan mencukupi dengan kerjasama pengusaha stesen demi keselesaan pengguna lebuh raya.
“Tempoh larangan pemanduan kenderaan barangan pula akan dilaksanakan bermula 29 hingga 30 Mac ini dan 5 hingga 6 April.
“Langkah itu dijangka sedikit sebanyak akan membantu aliran trafik yang lebih baik di lebuh raya utama negara,” jelas kenyataan tersebut.
Baca juga: Lelaki longgok wang kertas RM500k, tawar khidmat tukar duit raya baru