Lebih 20 cerun bukit di Selangor kritikal

Lebih 20 cerun bukit di Selangor kritikal

Lebih 20 cerun bukit di beberapa kawasan di Selangor dikenal pasti kritikal dan memerlukan pemantauan rapi serta tindakan pemulihan segera oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelak berlaku kejadian tanah runtuh.

Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Selangor, Tuan Rusli Tuan Mohamed berkata cerun-cerun kritikal itu antaranya berada dalam kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Daerah Hulu Selangor, Majlis Perbandaran Kajang serta beberapa PBT lagi.

Beliau berkata dapatan jumlah berkenaan diperoleh menerusi kajian yang dilakukan pihaknya pada tahun 2014 dan 2016 menggunakan teknologi pemetaan ‘Light Detection and Ranging (LiDAR)’ yang mempunyai ketepatan 0.5 meter daripada koordinat kawasan terlibat.

Daripada teknologi LiDAR, kita juga mengenal pasti lebih 1,000 cerun yang ada di negeri ini namun lebih 20 yang memerlukan tindakan segera kerana kita mahu elakkan faktor seperti potongan cerun tidak sempurna atau hujan menyebabkan berlakunya tanah runtuh.

Kita juga sedang dalam proses menyerahkan peta yang dihasilkan melalui LiDAR kepada PBT terlibat bagi memberi maklumat tepat kepada mereka mengenai kawasan yang sepatutnya diberi lebih perhatian, katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Output Projek Penghasilan Peta Bahaya dan Risiko Cerun (PBRC) kepada PBT, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihaknya juga akan menyusun maklumat berkaitan untuk dibincangkan dengan PBT terbabit bagi memudahkan mereka memahami bentuk cerun dan muka bumi di kawasan tersebut sebelum mengambil langkah sewajarnya.

Menurut Tuan Rusli, penghasilan data mengenai cerun itu dapat membantu pihak berwajib menangani isu tanah runtuh selain mengurangkan kos pembaikan cerun rosak menerusi tindakan pencegahan awal.

CATEGORIES