Lebih 200 buah rumah rosak dilanda ribut di Terengganu

Orang ramai melihat atap rumah yang rosak akibat ribut di Terengganu petang tadi di Manir, Kuala Nerus. Gambar Terengganu Times.

 

Lebih 200 buah rumah rosak dilanda ribut di tiga daerah di negeri Terengganu petang tadi.

Di Kuala Terengganu sahaja, hampir 150 buah rumah rosak diterbangkan angin kencang yang melanda kira-kira jam 2.45 petang tadi.

Menurut angka tidak rasmi, sebanyak 142 rumah rosak di Kuala Terengganu, 81 buah di Marang dan berpuluh buah rumah lagi di Kuala Nerus rosak akibat ribut ini.

Di Kampung Gelugor Kedai, 42 rumah dikatakan rosak akibat ribut itu manakala Kampung Padang Midin adalah kawasan yang paling teruk di daerah itu.

55 buah rumah dilaporkan rosak di kampung itu.

Di daerah Marang pula, Kampung Telaga Mengkudu dilaporkan paling teruk apabila 30 buah rumah rosak.

Di kampung bersebelahan, Pusu Tiga, 21 buah rumah rosak.

Menurut laman web tempatan, Terengganutimes, penduduk Kampung Batu Hampar, Kuala Nerus gempar apabila kampung mereka dilanda ribut jam 2.45 petang tadi sehingga menyebabkan beberapa rumah rosak dan pokok tumbang.

Menurut seorang penduduk, Wan Siah Wan Muda, 58, ketika kejadian berlaku, dia bersama suaminya yang menghidap strok sedang berada di dapur, lapor laman itu.

“Tiba-tiba saya terdengar bunyi yang begitu kuat yang belum pernah berlaku sebelum angin kencang datang. Saya hanya mampu membawa suami ke tempat yang selamat,” katanya.

Dalam keadaan kelam-kabut itu, Wan Siah sempat melaungkan azan sebelum ribut itu reda 15 minit kemudian.

“Selepas ribut reda, saya lihat semua bumbung rumah telah hilang diterbangkan angin dan lantai rumah turut dibasahi air hujan,” ujarnya sebagaimana dilaporkan oleh laman itu.

8.0
OVERALL SCORE
: 8.0
Have no any user vote