Lebih 200 nelayan Seberang Prai demontrasi bantah projek tambak laut

Lebih 200 nelayan Seberang Prai demontrasi bantah projek tambak laut
Unit nelayan Teluk Air Tawar turut serta membantah projek tambakan laut.

Cadangan projek tambakan laut dari pantai Bagan Ajam ke Bagan Belat, Teluk Air Tawar, Seberang Perai Utara, seluas 650 hektar oleh kerajaan negeri Pulau Pinang telah mendapat bantahan dari pelbagai persatuan nelayan dan juga pertubuhan bukan kerajaan.

Mereka telah mengadakan demonstrasi aman mendesak supaya projek tersebut tidak dilaksanakan sepertimana yang direncanakan.

Mereka yang berkumpul dibawah terik mentari turut membawa kain rentang dengan pelbagai laungan dan desakan supaya projek tambakan laut tersebut tidak diteruskan.

Malah lebih menarik nelayan yang turun berdemonstrasi terdiri dari pelbagai golongan masyarakat dan juga keturunan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Seberang Perai, Mahadi Md Rozi ketika ditemui berkata, nelayan merasa terancam sekiranya projek tambakan laut tersebut diteruskan.

Katanya lagi, sekiranya projek tambakan laut tersebut diteruskan ia akan mengancam hidupan laut yang ada serta mengurangkan hasil pendapatan para nelayan terlibat.

“Kita tidak mahu apa yang terjadi kepada nelayan Tanjong Tokong di sebelah Pulau turut terjadi kepada nelayan di Seberang Perai sehinggakan hasil pendapatan para nelayan menyusut dan merugikan.

“Kawasan perairan di sekitar Bagan Ajam merupakan suatu kawasan habitat bagi ketam, udang dan juga ikan kembung membiak.

“Namun begitu, setelah wujudnya kerja-kerja tambakan laut sekitar Pulau Pinang, terbukti hasil tangkapan nelayan turut terjejas dan pendapatan berkurangan, ” ujarnya.

Adun Telur Air Tawar Mustapa Kamal (kanan) menerima memorendum bantahan daripada Mahadi Md Razi

Beliau juga berkata, ekoran tangkapan hasil ikan yang berkurangan, ia mempengaruhi harga ikan sehingga melambung begitu tinggi

Sehubungan itu para nelayan mendesak supaya kerajaan negeri prihatin terhadap luahan mereka dan memberi perhatian serius mengenai isu tambakan laut tersebut.

Ahli Dewan Undangan Negeri bagi kawasan Teluk Air Tawar, Mustafa Kamal Ahmad segera turun padang bagi mendengar luahan nelayan tersebut.

Beliau yang ditemui menerima memorandum bantahan dari persatuan nelayan dan berjanji akan mengambil tindakan segera dengan menyerahkan memorandum tersebut kepada kerajaan negeri.

“Memorandum ini akan dipanjangkan kepada kerajaan negeri serta juga kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari khamis untuk tindakan lanjut beliau.

“Sebagai wakil rakyat kawasan ini, saya akan berusaha sedaya mungkin untuk bersama-sama mempertahankan hak rakyat bagi kawasan Dun ini.

“Perkembangan selanjutkan mengenai perkara ini akan dimaklumkan selepas mendapat tindakan balas dari pihak terlibat, ” tegasnya ketika ditemui.