Lebih 200 penduduk bimbang kesihatan, keselamatan terancam

Lebih 200 penduduk bimbang kesihatan, keselamatan terancam
Penduduk menunjukkan laporan dan aduan yang telah dibuat sebelum ini kepada pihak berkuasa.

Lebih 200 penduduk Taman Haji Ahmad Jamil Fasa 1, Tasek Gelugor, bimbang dengan kesihatan dan keselamatan mereka setelah pembangunan projek pembinaan rumah mewah Gelugor Height bersebelahan taman perumahan mereka dibangunkan tidak lama lagi.

Jaafar Mokhtar

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk Taman Haji Ahmad Jamil Fasa 1, Jaafar Mokhtar ketika ditemui.

Malah katanya, penduduk bimbang apabila tiada loji kumbahan najis yang baru dibina bagi menampung pembangunan projek perumahan mewah tersebut.

“Buat masa ini lebih 40 keluarga perumahan taman ini menggunakan loji kumbahan najis sedia ada sejak sekian lama.

“Itu pun tidak diselenggara dengan baik sehinggakan menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk khususnya pada waktu malam atau hari hujan.

“Sepatutnya pihak berkuasa tempatan tidak meluluskan pembangunan perumahan rumah mewah tersebut sekiranya tiada loji kumbahan najis yang baru didirikan bagi menampung keperluan penduduk yang baru, ” jelasnya.

Manakala Setiausaha Persatuan Kebajikan Penduduk, Zurhan Bakar ketika ditemui turut berkata, aduan dan laporan telah dibuat beberapa kali kepada pihak Majlis Perbandaran Seberang Perai, tetapi tidak ada apa-apa kemajuan yang diperolehi.

“Setelah aduan dan laporan dibuat kami masih lagi berada ditakok lama.

“Loji kumbahan sedia ada pun tidak dapat menampung keperluan yang ada serta tidak diselenggara dengan sempurna, apa lagi sekiranya ada pertambahan penduduk di perumahan mewah itu nanti.

“Ekoran tersebut, kami terpaksa membuat laporan polis supaya siasatan diadakan bagi menyiasat kegagalan pembinaan loji kumbahan najis tersebut serta keselamatan penduduk kawasan perumahan ini, ” tegasnya.

Sementara itu, Ismail Md Isa pula berkata, kemungkinan besar terdapat sesuatu yang tidak dipatuhi oleh agensi penguatkuasaan terlibat.

“Kami terpaksa membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan dengan segera dan memberi keadilan kepada penduduk.

“Apa yang kami bimbangi sekiranya perumahan baru ini mulai diduduki dengan pertambahan penduduk, sedangkan segala infrastruktur tidak disempurnakan sehingga menjejaskan kesihatan dan keselamatan kawasan perumahan kami, ia amat mendukacitakan kerana

telah berlarutan sejak beberapa tahun yang lalu.

“Sehubungan ini kami amat berharap pihak berkuasa tempatan serta wakil rakyat kawasan ini termasuk Adun dan Ahli Parlimen Tasek Gelugor mengambil peduli dan bertindak segera bagi menyelesaikan masalah penduduk di kawasan ini, ” tambah beliau ketika ditemui.