Malaysia Dateline

Lebih 200 pesawah bimbang bekalan air tidak mencukupi jejas pengeluaran padi

Lebih 200 petani di kawasan Paya Keladi, Kepala Batas, Seberang Perai Utara, bimbang pengeluaran padi mereka akan terjejas setelah bekalan air tidak dapat disalurkan ke sawah sejak tiga minggu yang lalu.

Ekoran kegagalan tersebut mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi membeli paip serta mesin bagi mengepam air dari tali air yang disalurkan ke kawasan sawah.

Tinjauan yang dibuat oleh Malaysia Dateline dengan turun ke sawah semalam bersama-sama dengan pesawah mendapati paras air dalam tali air tidak mencukupi dan tidak dapat menyalurkan air ke kawasan sawah.

Yang amat menyedihkan apabila sistem pengairan yang sedang dalam pembinaan di Rumah Pam, Pinang Tunggal belum dapat beroperasi dan siap sepenuhnya.

Datuk Zabidi Ariffin

Aliran air juga didapati perlahan ke kawasan Rumah Pam Pinang Tunggal setelah beting pasir yang begitu panjang memenuhi ruang menyebabkan ianya menjadi sempit setelah tidak diselenggarakan dengan sempurna.

Menurut Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Lahar Bubu, Datuk Zabidi Ariffin, terdapat pesawah yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar bagi mengepam air masuk ke kawasan sawah.

“Pesawah terpaksa menanggung beban yang tinggi bagi mendapatkan bekalan air.

“Sekiranya pam di Rumah Pam, Pinang Tunggal dalam beroperasi dan siap dengan segera, sudah pasti masalah ini tidak akan berlarutan.

“Nasib pesawah yang menghadapi kesukaran ini mesti diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa setelah mereka terpaksa mencari sumber yang lain bagi menampung kekurangan bekalan air tersebut termasuklah menyediakan perbelanjaan yang besar, ” jelasnya.

Manakala Saidon Ayob pula berkata, sekiranya bekalan air dapat disalurkan ke kawasan sawah mengikut jadual yang telah ditetapkan, sudah pasti mereka tidak akan menghadapi kerugian.

“Masa untuk air disalurkan ke kawasan sawah sudah pun sampai, tetapi kami tidak dapat melakukannya setelah bekalan air tidak dapat disalurkan.

 (kiri) Mohd Suki jamaluddin dan (kanan)  Saidon Ayob

“Mesin yang disediakan kepada pesawah oleh pihak berkaitan hanya dua buah dan tidak mencukupi untuk digunakan oleh begitu ramai pesawah.

“Sekiranya bekalan air lambat dipam masuk ke sawah, padi tidak akan menjadi dengan sempurna dan kami menanggung kerugian tanpa adanya pendapatan, ” tegasnya.

Sementara itu, Mohd Suki Jamaluddin pula berkata, terdapat juga pesawah yang terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sehingga RM1000 bagi menggali tiub lubang.

“Apabila kami terpaksa menyediakan sehingga RM1000 sudah pasti perbelanjaan kami untuk keluarga akan menyusut dan menjejaskan perbelanjaan keluarga.

“Hidup kami pun umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Oleh kerana itu kami amat berharap masalah bekalan air yang tidak dapat disalurkan ke kawasan sawah dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak pertanian dan juga kerajaan negeri Pulau Pinang, ” rayu beliau.

Kawasan beting sungai yang dipenuhi dengan pasir tanpa penyelenggaraan.