Malaysia Dateline

Lebih 2,000 permohonan tubuh MPKK di Sarawak

Lebih 2,000 permohonan diterima bagi menubuhkan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Sarawak, kata Menteri Kerja Raya Baru Bian.

Baru yang juga Pengerusi PKR Sarawak berkata dijangka lebih 5,000 MPKK akan ditubuhkan di Sarawak.

“Ia akan memakan masa dan walau apapun ini bergantung kepada jumlah rumah panjang dan kampung yang kita ada,” katanya kepada pemberita di sini.

Mengulas lanjut, Baru berkata MPKK akan bermula tahun depan, apabila nama-nama bagi membarisi majlis itu diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) serta menjalani latihan.

“Setelah latihan selesai, tentu saja mereka sedia untuk berkhidmat. Seperti yang kita ketahui, mereka adalah orang yang akan menyalurkan maklumat antara kerajaan persekutuan dengan masyarakat di seluruh Sarawak serta negeri di seluruh negara.

“Apa juga isu boleh dikemukakan oleh masyarakat, ia juga akan digunakan sebagai saluran untuk menjangkau kerajaan persekutuan,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai pilihan raya negeri Sarawak yang mungkin diadakan tahun depan, Baru menyatakan bahawa Pakatan Harapan (PH) sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.

“Kita semua tahu bahawa ada berita yang mengatakan pada bulan April, ada yang mengatakan pada bulan Ogos dan ada pula yang berkata pada tahun 2021. Tanpa memikirkan tentang berita itu, apa yang jelas, PH telah bersiap sedia sepenuhnya sejak tahun lepas lagi,” katanya.

Beliau berkata bagi PKR sendiri, arahan telah kita berikan untuk bergerak lebih lagi untuk tahun 2020.

“Pada Januari 2020 kita kena kerap turun padang. Tiada alasan lagi untuk bersemuka dan menangani isu tempatan dan berkomunikasi dengan penduduk tentang dasar kerajaan baharu,” tambah beliau.

— BERNAMA