Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan Malaysia sedang berhadapan dengan krisis pendidikan yang sangat dahsyat apabila lebih 20,000 murid berhenti sekolah sejak Mac 2020 hingga Julai 2021.
Beliau mempersoal di mana keadilan untuk rakyat yang tidak berkemampuan ketika perdana menteri boleh membelanjakan sekitar RM50,000 sebulan untuk seorang penasihat khas yang dilantik.
“Hampir 22,000 anak muda tercicir kerana Covid-19. Lebih setahun setengah mereka tak bersekolah kerana kekangan kewangan agak drastik. Bukan masalah minat, tapi mereka tiada tablet, komputer riba, internet dan kekangan kewangan.
“Disebabkan ini adalah ‘national emergency’, mana inisiatif kerajaan? Kerajaan guna slogan Keluarga Malaysia, guna RM38juta untuk tambah baik rumah perdana menteri, tawar RM100juta kepada bekas pm, lantik penasihat yang bergaji RM50,000.
“Tetapi situasi ini yang amat mencemaskan, apa yang kerajaan boleh lakukan dalam skala besar untuk intervensi supaya mereka ditempatkan semula (ke sekolah)?,” soalnya dalam satu hantaran Facebook semalam.
Menteri Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata, bagi tempoh Januari hingga Julai 2021, seramai 10,015 orang atau 0.21 peratus murid direkodkan berhenti sekolah.
Jumlah keseluruhan murid yang berhenti persekolahan bagi tempoh Mac 2020 hingga Julai 2021 adalah 21,316 orang atau 0.22 peratus murid.