Malaysia Dateline

Lebih 22,000 Orang Asli bakal terima bantuan kerajaan Selangor

Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor bersetuju meluluskan cadangan pemberian bantuan kepada masyarakat Orang Asli di negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Majlisnya, Hee Loy Sian berkata, bantuan tersebut bertujuan meringankan beban kehidupan harian yang dihadapi golongan tersebut.

Menurutnya, bantuan tersebut akan memberi manfaat langsung kepada seramai 22,992 orang masyarakat asli dengan peruntukan kewangan sebanyak RM297,050

“Bantuan ini berbentuk barangan keperluan asas harian seperti beras, tepung, gula, susu, minyak masak dan sebagainya dengan jumlah sebanyak RM50 satu ketua isi rumah (KIR).

“Jumlah ketua isi rumah yang terlibat seramai 5,941 orang yang merangkumi kesemua 74 kampung orang asli di Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Negeri Selangor antara kerajaan negeri terawal mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa Pertama pada 20 Mac, yang mengambil langkah proaktif membantu rakyat terjejas akibat pelaksanaan PKP.

Sementara itu, Loy Sian berkata, setelah pengumuman Kerajaan Pusat untuk melanjutkan tempoh PKP kepada 14 April, Selangor sekali lagi mendahului langkah semua kerajaan negeri bagi mengumumkan Pakej Rangsangan Selangor Prihatin Fasa kedua pada 1 April.

Loy Sian yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains Teknologi Dan Inovasi, berkata, peruntukan terbabit akan disalurkan kepada Pejabat Tanah dan Daerah yang terlibat

Jelasnya, badan tersebut akan bertindak sebagai agensi pelaksana dengan kerjasama Pejabat DUN atau Penyelaras DUN, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Selangor dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor.

“Saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli Negeri Selangor percaya dan yakin bantuan ini sedikit sebanyak akan dapat membantu meringankan beban kehidupan harian masyarakat ini di negeri ini,” katanya.