Malaysia Dateline

Lebih 30 lantikan politik besar-besaran, pengurusan universiti jadi serba cacamarba

Dr Maszlee Malik berpendapat pengagihan jawatan di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) kepada wakil-wakil politik Perikatan Nasional (PN) tanpa berdasarkan merit hanya akan menyebabkan imej dan wibawa IPTA semakin buruk sama ada di peringkat lokal mahupun antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) itu berkata, terdapat lebih 30 lantikan politik secara besar-besaran telah berlaku semenjak PN memerintah.

“Situasi ini juga menjawab mengapa pihak KPT (Kementerian Pengajian Tinggi) tidak bersikap progresif dan inovatif di dalam pembangunan solusi di peringkat pendidikan tinggi di kala menghadapi wabak Covid-19 berbanding negara-negara jiran apatah lagi berbanding negara-negara maju.

“Campur tangan politik juga telah menyebabkan keadaan pengurusan IPTA menjadi serba cacamarba semenjak PN memerintah,” katanya hari ini.

Dr Maszlee yang juga bekas Menteri Pendidikan itu menegaskan pelantikan berdasarkan keahlian politik semata-mata boleh menganggu kemajuan universiti seperti yang berlaku sepanjang pemerintahan PN.

Sehubungan itu, beliau berkata, KPT patut merujuk kepada buku Pelan Pembangunan Pendidikan 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan keperluan melantik ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mengikut kebolehan dan ‘skill-sets’ yang telah ditetapkan supaya boleh memacu IPTA lebih berdaya maju.

“Sepatutnya di kala wabak melanda, KPT menyikapi isu pendidikan tinggi dengan serius seperti di negara-negara maju dan bukannya bermain politik dan mengagihkan habuan sesama ahli politik,” tegas Dr Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam itu lagi.

Baru-baru ini, bekas Exco Selangor yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan pelantikan sekurang-kurangnya 13 individu daripada parti komponen PN ke Lembaga Pengarah IPTA.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu menegaskan pelantikan tersebut sangat tidak wajar dan tidak bertanggungjawab memandangkan ramai profesional yang boleh dilantik sebagai dalam lembaga pengarah atau lembaga gabenor universiti awam.

Antaranya, ahli politik terbabit yang dilantik memegang jawatan di universiti awam ialah Naib Ketua Wanita Umno, Norliza Abdul Rahim sebagai ahli lembaga gabenor Universiti Sains Malaysia (USM) dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Abdul Rahman Dahlan sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Turut dilantik Ketua Pemuda Pas, Khairil Nizam Khirudin sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Husain Awang, sebagai ahli lembaga pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Sementara itu, Naib Ketua Pemuda Umno Selayang, Mohd Sazili Shahibi dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM).