Malaysia Dateline

Lebih 300 kejadian pokok tumbang dilaporkan dalam bencana ribut di Pulau Pinang

Lebih 300 kejadian pokok tumbang dilaporkan di seluruh Pulau Pinang berikutan hujan lebat dan angin kencang bermula 10 malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Jagdeep Singh Deo berkata pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerima 150 aduan manakala Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) terima 152 aduan berhubung kejadian pokok tumbang yang kebanyakan menghalang lalu lintas dan merosakkan harta benda.

“Kerja-kerja pembersihan telah dimulakan sejak malam tadi di mana 815 anggota MBPP dan MPSP bertugas untuk membersihkan ranting pokok yang menghalang lalu lintas,” katanya dalam satu sidang media yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang dan Yang Dipertua MPSP Datuk Rozali Mohamud di sini, hari ini.

Hampir 90 peratus daripada kawasan yang terlibat dengan pokok tumbang di negeri ini dapat dibersihkan oleh anggota Pihak Berkuasa Tempatan.

Jagdeep, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat, berkata 20 mangsa terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Masjid Hashim Yahaya manakala enam keluarga melibatkan 31 mangsa dipindah ke dua pusat permindahan di Juru Seberang Perai.

“Saya ingin meminta semua mangsa ribut semalam untuk membuat laporan polis mengenai kerosakan harta benda secepat mungkin supaya mereka boleh membuat tuntutan daripada Tabung Bencana TYT Pulau Pinang,” katanya.

Tuntutan tabung itu hanya kepada kerosakan rumah dan bukan untuk kerosakan kenderaan.

Setakat ini, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berikutan kejadian ribut semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari pula berkata pihaknya menerima sebanyak 12 kes di bahagian pulau dan 35 kes di Seberang Perai mengalami bekalan elektrik terputus akibat kejadian pokok tumbang.

“Saya difahamkan pihak TNB sedang berusaha menyambung balik bekalan elektrik yang terputus,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar George Town mendapati pihak berkuasa tempatan sedang menjalankan kerja-kerja pembersihan untuk membuka balik jalan, membersihkan harta benda awam yang rosak dan membantu mangsa terlibat dengan bencana ribut malam tadi.

— BERNAMA