Lebih 300 penduduk terjejas jambatan runtuh Adun Pas,BN tidak prihatin

Lebih 300 penduduk terjejas jambatan runtuh Adun Pas,BN tidak prihatin

Ketidakpedulian Adun Kuala Ketil dan Ahli Parlimen Baling memberi perhatian segera untuk membantu lebih 300 penduduk kampung yang terjejas akibat jambatan yang runtuh sejak tiga bulan yang lalu di Kampung Sungai Bemban, Kuala Ketil amat dikesali.

Naib Pengerusi Amanah Negeri Kedah, Johari Abdullah yang turun padang bersama penduduk dan pimpinan Amanah kawasan Baling mendapati jambatan yang runtuh tersebut menjejaskan hubungan penduduk di Kampung Padang Pulai, Kampung Sungai Bemban dan Kampung Padang Kulim.

Mereka juga bimbang dengan ketiadaan jambatan tersebut, ia turut membahayakan keselamatan ratusan pelajar tiga buah sekolah rendah dan menengah yang sering berulang alik ke sekolah setiap hari.

“Aduan penduduk mendapati laluan ini adalah laluan utama mereka ke masjid, sekolah dan juga pekan serta menjejaskan urusan penduduk beberapa kampung berdekatan.

“Akibat kegagalan pihak berkuasa untuk membaik pulih atau menukar jambatan ini dengan segera, penduduk terpaksa menggunakan laluan bersebelahan yang lebih berisiko kerana boleh terjatuh ke dalam sungai.

“Penduduk juga mendakwa empat bulan yang lalu terdapat lori pasir yang terjatuh dan amat membimbangkan penduduk terutamanya pada waktu malam atau hari hujan, ” jelasnya lagi.

Johari AbdullahJohari yang juga merupakan Ketua Amanah kawasan Baling juga mendesak wakil rakyat Pas yang mewakili Dun Kuala Ketil supaya segera mengambil tindakan dengan membela nasib penduduk terlibat.

“Sepatutnya Ahli Parlimen Baling yang diwakili BN sudah mampu untuk mengatasi masalah ini dengan segera.

“Takkanlah sebagai seorang Ahli Parlimen tidak mampu untuk membela nasib rakyat yang rata-ratanya adalah penduduk kampung yang miskin lagi daif.

“Penduduk kampung tidak mampu untuk membina jambatan sendiri kerana ia amat besar dan merentangi sungai, ” tegasnya lagi.

Beliau juga berkata, sebelum ini aduan telah pun dibuat oleh penduduk kampung kepada pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri Kedah.

Namun begitu sehingga kini tiada apa-apa tindakan yang boleh membantu mereka untuk mengatasi masalah ini dengan segera.

Sehubungan itu katanya, Amanah Baling mendesak Adun Pas Kuala Ketil, Md Zuki Yusof dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim supaya menyelesaikan masalah jambatan runtuh tersebut dengan segera.

“Kerajaan negeri boleh menyegerakan pembinaan jambatan tersebut sekiranya mereka serius untuk menyelesaikan masalah penduduk terlibat.

“Kita juga masih ragu-ragu apakah ada peruntukan yang dapat mereka salurkan bagi membina jambatan ini dengan segera.

“Atau peruntukan tersebut telah hilang akibat ketirisan kepimpinan Umno dan BN di Kedah maupun Pusat, ” tambahnya lagi.

 

TAGS