Malaysia Dateline

Lebih 300,000 isi rumah terjejas lagi gangguan air di Lembah Klang

Lebih 300,000 isi rumah terjejas lagi gangguan air di Lembah Klang

Sekali lagi kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air. Kali ini sebanyak 309, 605 isi rumah di 273 kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terjejas.

Puncanya Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas sepenuhnya apabila Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji tercemar.

Pengurusan Air Selangor memaklumkan hal tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian itu telah dilapor kepada Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan sedang mengesan secara aktif punca pencemaran di sepanjang Sungai Semenyih dan anak sungai berdekatan.

Sehubungan itu, pelan tindakan kecemasan (ERP) juga telah diaktifkan bagi membantu pengguna yang terjejas susulan kejadian ini, kata Air Selangor pada suatu kenyataan hari ini.

Air Selangor berkata pada masa ini, pihaknya masih belum dapat memberikan tempoh waktu bila bekalan air akan dipulihkan.

Pada 3 September lalu, anak sungai Sungai Sembah yang masuk ke Sungai Selangor tercemar apabila sebuah kilang penyelenggaraan jentera disyaki membuang bahan pencemar ke Sungai Gong.

Dalam hal berkaitan, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata pencemaran itu dikesan dari suatu sungai di Negeri Sembilan.

“Punca pencemaran adalah sejauh 30km dari LRA Sungai Semenyih. Punca pencemaran dikesan di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan.

“Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Negeri Sembilan (Aminuddin Harun) untuk bersama menyelesaikan isu ini,” katanya pada hantaran di media sosial.