Malaysia Dateline

Lebih 350 Maahad Tahfiz telah berdaftar di Selangor, kata Pitas

Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran (Pitas) Negeri Selangor Muhammad Hafiz Muhammad Haneefa Al-Hafiz memaklumkan, pusat tahfiz yang telah berdaftar di negeri Selangor pada ketika ini, melebihi 350 pusat.

Katanya, dalam Pitas, pihaknya telah membentuk satu pasukan petugas untuk mendaftarkan maahad tahfiz, setelah diumumkan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada November 2017 berhubung penutupan maahad yang tidak berdaftar.

“Waktu itu (November 2017), sudah ada sebanyak 263 pusat tahfiz berdaftar. Pada pendapat saya, pusat tahfiz yang selebihnya itu bukanlah belum berdaftar, cuma mereka kini dalam proses pendaftaran.

“Salah satu syarat pendaftaran adalah kena cukup 20 pelajar, kalau tak cukup, jadi ia tidak boleh didaftarkan.

“Persatuan Tahfiz Selangor juga mengadakan kursus dan seminar berkala. Maksud berkala ini, setiap tahun dan setiap bulan ada seminar untuk mudir dan guru-guru bagi mendedahkan mereka dengan perkara seperti pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Jadi, kebanyakan maahad di Malaysia khususnya di Selangor, mereka ini berada di tanah wakaf, tanah kampung…jadi isunya adalah tanah.Tanah belum ditukarkan (convert) dan ia memerlukan masa,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline, hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Hafiz berkata, pihaknya telah membawa perkara itu ke pengetahuan kerajaan negeri yang diketuai Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Katanya, pada November tahun lalu, Mais, Pitas, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan sebanyak 12 PBT telah mengadakan bengkel tiga hari dua malam untuk mengadakan draf garis panduan.

“Kami sudah pun membuat garis panduan tersebut dan pada tahun lepas, saya juga telah berjumpa Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bagi menggesa pihak PBT mempercepatkan laporan. Alhamdulillah laporan itu sudah ada, cuma nak masuk ke mesyuarat kerajaan negeri sahaja.

“Apabila sudah diluluskan di peringkat kerajaan negeri, akan ada garis panduan untuk maahad tahfiz pula. Contohnya, sebelum ini kerajaan negeri telah buat garis panduan pemutihan kilang haram dan ianya telah diselesaikan.

“Jadi kali ini, kerajaan negeri nak gunakan garis panduan yang hampir sama untuk maahad tahfiz. Sekarang ini, apa saya boleh cakap, kebanyakan tahfiz di Selangor berstatus pendaftaran sementara dan kini ianya dalam proses untuk menjadi pendaftaran kekal,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hafiz berkata, pihaknya berbesar hati dan menyambut baik titah Tuanku yang menunjukkan keprihatinan terhadap pendidikan Islam khususnya pendidikan tahfiz.

“Pendapat saya, apa yang dititahkan Tuanku semalam ditujukan kepada maahad tahfiz yang masih berdegil untuk berdaftar. Boleh juga dikatakan mereka belum nak berubah, masih berada di takuk lama,” katanya.

Baca: Titah Sultan Selangor lambang keprihatinan pendidikan agama danĀ  tahfiz