Lebih 40,000 hadir, gelombang rakyat bangkit melimpah ke pantai timur

Lebih 40,000 hadir, gelombang rakyat bangkit melimpah ke pantai timur

“Duduk, duduk. Orang belakang tak nampak! Duduklah!”

Gamat suasana di Taman Bandar, Indera Mahkota malam tadi sejurus Tun Dr Mahathir Mohamad tampil ke pentas untuk memulakan pidatonya.

Teruja dengan kemunculan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, ramai yang berdiri untuk mengambil gambar mengabadikan kenangan detik-detik lagi berbaki seminggu sebelum membuang undi.

Lambaian Tun Mahathir kepada lebih 40,000 orang yang menghadiri Jelajah Harapan Pahang menyaksikan majoriti daripada mereka membalas lambaian negarawan itu dengan memasang fungsi lampu pada telefon masing-masing.

Tun Dr Mahathir Mohamad membalas lambaian rakyat dalam kempen Pakatan Harapan di Pahang.

Kelip cahaya dari telefon mereka yang ibarat taburan bintang di langit itu bukti gelombang kebangkitan rakyat berbilang kaum kepada PH di pantai barat Semenanjung sudah melimpah ke pantai timur.

Tidak dapat disangkal lagi, rakyat khususnya di Kuantan dilihat tidak sabar-sabar untuk melihat Umno-BN direhatkan di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Semakin banyak gambar Tun Mahathir dipotong dan ditutup daripada muncul di kain rentang kempen PH, semakin ramai rakyat yang terkesan dengan kenaikan melambung kos sara hidup bangkit menyatakan sokongan secara terbuka kepada PH.

“Lebih 40,000 yang hadir. Datang dengan apa? Dengan kereta, motosikal sendiri, berjalan kaki, naik basikal.

“Kami (PH) tidak upah satu sen pun. Sebaliknya kami pula minta duit (derma),” kata Mahathir sempat berseloroh.

Didahului dengan bacaan Bismillahirahmaanirahim, beliau menyifatkan kehadiran sebegitu ramai rakyat di Kuantan menggambarkan hasrat untuk menamatkan mandat BN di Putrajaya.

Rakyat serentak melambai Mahathir dengan cahaya telefon tangan.

“Saya fikir pekan Kuantan sudah sunyi, tiada orang. Rupanya semua orang ada di sini. Semua orang di sini menyatakan sokongan untuk menukar kerajaan,” ujarnya yang kelihatan terharu melihat sambutan hangat orang ramai.

Beliau menyifatkan Pengerusi BN, Najib Razak sendiri mustahil untuk mampu menarik kehadiran puluhan ribu orang dalam rapat umum yang dianjurkan kerana segalanya perlu dikerah.

“Saya tidak percaya dia boleh dapat begini ramai orang. Dan untuk 200, 300 orang yang hadir (program), dia sediakan 40 buah bas yang dibawa dari banyak negeri.

“Semua bawa masuk supaya nampak banyak. Kita bukan dengan cara itu. Kita bergantung pada keikhlasan tuan-tuan dan puan-puan (untuk hadir),” ujarnya serentak disambut tepukan gemuruh rakyat.

Laungan “Selamatkan Malaysia, Selamatkan Pahang” dilihat bakal membuatkan Najib dan Pengerusi Badan Perhubungan BN negeri, Datuk Seri Adnan Yaakob, tidak lena sepanjang PRU-14 ini.

Untuk rekod, Pahang mempunyai 825,636 pengundi dengan 71.68 peratus Melayu, Cina (161,081), India (37,304) dan lain-lain 4.29 peratus.

BN menguasai 10 daripada 14 kerusi Parlimen, PKR dua kerusi manakala DAP dan Pas masing-masing memiliki satu kerusi.

Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun), BN mempunyai 30 kerusi diikuti DAP (7), PKR (3), Pas (2).

Lokasi Taman Bandar Indera Kayangan saksi sokongan rakyat terhadap Pakatan Harapan untuk bersama menolak BN pada PRU14.

7.8
OVERALL SCORE
: 8.0
11 user votes x 7.7