Malaysia Dateline

Lebih 4,500 wanita dapat bantuan Kida, kata Mukhriz

Sejumlah 4,511 wanita di negeri Kedah akan mendapat faedah melalui program Kasih Ibu Darul Aman (Kida) yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri, kata Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, program Kida memberi keutamaan kepada wanita yang berkeluarga, ibu tunggal serta suri rumah tanpa pendapatan tetap.

Malah katanya, melalui program ini juga bantuan kewangan secara bulanan akan disalurkan bagi memberi kemudahan untuk membeli barangan keperluan asas serta juga keperluan kesihatan.

“Mereka yang terpilih akan menerima sumbangan sebanyak RM250 sebulan bagi membeli barang keperluan asas.

“Manakala bantuan sejumlah RM500 pula akan turut diberikan setahun bagi perbelanjaan kesihatan sekeluarga dimana-mana klinik swasta.

“Ia juga adalah untuk menampung kos sara hidup khususnya golongan wanita maupun ibu miskin dan miskin tegar di negeri Kedah, ” ujarnya.

Sehingga ini jelasnya, mereka yang menerima kad KIDA melalui program tersebut adalah mereka yang tersenarai dalam program e-kasih.

“Permohonan baru bagi program tersebut masih lagi diterima dan dijangka akan meningkat dan bertambah.

“Kad yang diperkenalkan tersebut boleh dimanfaatkan di kedai runcit dan klinik swasta yang terpilih sahaja.

“Senarai penerima program KIDA tersebut juga akan dinilai setiap tahun bagi memastikan mereka benar-benar tergolong dalam golongan yang layak sahaja, ” tambah beliau.

Rentetan itu kata Mukhriz lagi, Kerajaan Pusat turut menyalurkan peruntukan sejumlah RM30 juta melalui pihak berkuasa pelaksanaan koridor utara atau NCIA bagi program KIDA tersebut.