Lebih 50 peratus manifesto PRU14 PH Melaka ditunaikan

Lebih 50 peratus manifesto PRU14 PH Melaka ditunaikan

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka berjaya melaksanakan lebih 50 peratus janji yang terkandung dalam manifesto ditawarkan di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PH Melaka PRU14, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab yang juga Naib Pengerusi PH Melaka, berkata pencapaian itu sekali gus membuktikan PH Melaka komited terhadap usaha menjaga kebajikan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Jika dalam tempoh tujuh bulan pun kita dapat melaksanakan 44 daripada 84 tawaran (dalam manifesto PH Melaka), maka saya yakin hasrat untuk memenuhi janji-janji kepada rakyat dapat ditunaikan.

“Pelaksanaan ini mengambil masa berikutan ada di antara tawaran tersebut melibatkan bajet dan penggubalan enakmen serta undang-undang baharu dengan kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya yakin kerajaan PH Melaka mampu merealisasikan semua janji yang dibuat secara berperingkat, menjelang lima tahun mengambil alih pentadbiran dan memegang tampuk pemerintahan negeri ini.

Mohd Sofi berkata antara janji ditunaikan ialah mengehadkan tempoh perjawatan ketua menteri Melaka kepada dua penggal, mengamalkan perbelanjaan berhemah, menghapuskan birokrasi politik dalam kelulusan projek dan pemilihan perjawatan.

Selain itu, memperketat syarat bagi pemilikan hartanah oleh warga asing, membina rumah dengan harga dari RM42,000 hingga RM250,000 dalam tempoh lima tahun serta penubuhan Jawatankuasa Kompetensi, Akauntabiliti dan Ketelusan Melaka (MELCAT).

Dalam pada itu, Mohd Sofi yang juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, menyeru kepada rakyat negeri ini agar tidak mudah terpedaya dengan tuduhan dan tohmahan dilemparkan oleh pihak pembangkang yang bertujuan memburukkan imej dan menjejaskan reputasi kerajaan negeri.

“Sebaliknya, rujuklah kepada sumber sahih bagi mengelak kekeliruan dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu. Kita mahukan pembangkang yang baik untuk semak dan imbang bukannya mereka yang hanya menggunakan emosi demi kepentingan survival politik semata-mata,” katanya.-BERNAMA.