Malaysia Dateline

Lebih 50,000 pekerja industri di Selangor dijangkiti sejak Julai

Hasil ujian saringan sejak Julai lalu, seramai 53,571 pekerja industri di Selangor, dikesan dijangkiti Covid-19, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, jumlah tersebut menjadikan 17.1 peratus kes Covid-19 dikenal pasti di Selangor dari Julai lalu hingga kini, membabitkan pekerja industri.

Jelasnya, ujian saringan itu dijalankan pihak majikan sebagai persediaan sebelum masuk ke tempat kerja, selain saringan kontak rapat kepada rakan sekerja yang positif, dan saringan kendiri pekerja terbabit di fasiliti kesihatan swasta.

“Daripada bilangan pekerja industri berkenaan, 62 peratus atau 33,214 orang adalah dalam sektor perkilangan; perkhidmatan (14.5 peratus / 7,768 orang); pembinaan (13.5 peratus / 7,232 orang) dan perdagangan (10 peratus / 5,357 orang),” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (Pas-Sijangkang) mengenai jangkitan Covid-19 kluster industri, pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan mengikut rekod Jabatan Kesihatan Selangor (JKNS) dari 13 Julai hingga 23 Ogos lalu, sebanyak 79 kilang dalam sektor pembuatan diarahkan tutup atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Katanya lagi, sebanyak 220 kilang pula telah diperiksa pasukan penguat kuasa JKNS mengikut data aktiviti operasi pemeriksaan tahap kepatuhan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dijalankan ke atas sektor pembuatan sepanjang tempoh tersebut.

“Daripada jumlah itu, 42 (19 peratus) dikenakan kompaun atas kesalahan mengingkari SOP digariskan dalam sektor pembuatan.

“Sebanyak 79 (36 peratus) pula diberi arahan penutupan mengikut Seksyen 18(1)(f) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Arahan penutupan itu adalah selama tujuh hari, dan pemilik industri terbabit turut diberi arahan kerja serta penambahbaikan untuk diselesaikan dalam tempoh penutupan berkenaan,” kata Amirudin lagi.