Malaysia Dateline

Lebih 52,000 surat kebenaran rentas daerah, negeri dikeluarkan di Kelantan

Lebih 52,000 surat kebenaran rentas daerah dan negeri kepada golongan yang dibenarkan dikeluarkan oleh polis Kelantan.

Surat kebenaran itu dikeluarkan terutama kepada pekerja yang tiada majikan dan bekerja sendiri sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu, bermula 16 Januari lalu.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, jumlah itu juga membabitkan pengeluaran surat kebenaran kepada individu yang menjalankan khidmat menghantar makanan yang dibenarkan bagi tujuan pergerakan ekonomi mereka.

“Bagaimanapun, pada minggu kedua PKP pihak kami mendapati jumlah permohonan surat ini berkurangan berbanding pada tiga hari pertama PKP dilaksanakan di Kelantan.

“Malah, sebelum ini kita boleh melihat ramai yang datang ke balai-balai untuk memohon surat berkenaan,” lapor BH hari ini.

Untuk rekod, Kelantan telah mencatatkan jumlah 2,761 kes dengan lagi 78 kes baharu semalam.

Kemudahan pesakit Covid-19 di Kelantan juga dilapor hanya bertahan dua bulan jika jumlah peningkatan berterusan.

Sementara itu, sekatan jalan raya (SJR) masih dikekalkan di 19 lokasi dan katanya, pihak polis menambah anggota sebagai pasukan pemantau untuk penugasan kawalan di lorong tikus di sepanjang sempadan negara.

“Pasukan pemantau akan berada di setiap lokasi yang ditetapkan termasuk sekitar sempadan negeri bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal terutama ketika pendemik Covid-19 ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Shafien berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat di bandar bagi mengelak penularan pandemik.

“Justeru, strategi kami selepas ini adalah untuk ‘masuk’ ke kawasan kampung pula kerana kami menerima maklumat masih ada yang membuka gerai untuk pelanggan makan,” katanya.