Lebih 60 jemaah masjid isytihar mahu bersama AMANAH

Lebih 60 jemaah masjid isytihar mahu bersama AMANAH
Penyerahan borang AMANAH kepada Ketua Kawasan Mohd Said Jonit (kiri) sambil disaksikan oleh Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat (tengah) oleh Ketua Cawangan Layang-layang

Parti AMANAH Simpang Renggam Johor hari ini menerima kejutan apabila terdapat kira-kira lebih dari 60 jemaah masjid telah mengisytiharkan untuk bersama parti tersebut.

Hal itu ditegaskan oleh Naib Ketuanya, Ahmad Maulana Stat yang menyatakan pada peringkat awal borang hanya dikeluarkan sekitar 30 sahaja namun sambutan yang menggalakkan telah memberikan kesan kepada kemasukkan ahli secara beramai-ramai.

Dalam pada itu, Ketuanya, Mohd Said Jonit berkata seramai lebih dari 200 orang telah berdaftar untuk bersama-sama parti AMANAH bagi satu cawangan Layang-layang.

Menurut beliau yang berucap ketika program ‘Sembang Santai Kawasan Simpang Renggam’ berkata ini adalah petanda baik bagi gerakan parti seperti AMANAH.

“Pembabitan orang-orang awam seperti orang masjid yang berpusu masuk AMANAH adalah suatu yang luar dari jangkaan.

“Kita akan berusaha lagi untuk bersedia dalam PRU yang akan datang untuk memenangi Dun Layang-layang yang sekarang ini masih dipertahankan oleh Umno.

“Dengan kemasukkan golongan agama ini, ia menunjukkan bahawa parti AMANAH sememangnya sudah diterima ramai dan membuktikan bahawa pendekatan Islam kita mula diterima oleh masyarakat,” ucapnya.

Dalam program yang sama, Naib Pengerusi AMANAH Johor, Suhaizan Kaiat yang turut hadir berkata Dun tersebut adalah kubu kuat Umno melalui pengalaman beliau sebelum ini.

Beliau telah mengucapkan tahniah kepada jentera AMANAH Simpang Renggam yang terus berusaha mendekati masyarakat sehingga berjaya diterima ramai pada hari ini.

“Dulu (PRU13) saya pernah dihalau dan bertengkar di kawasan ini. Itu menggambarkan betapa teruknya penerimaan orang terhadap kita pada waktu itu.

“Namun hari ini, apa yang berlaku adalah luar dari jangkaan kita apabila dewan serbaguna ini dapat digunakan oleh kita. Kalau ikutkan pada tahun 2013 dulu memang semua ini hanya setakat angan-angan.

“Apa yang pasti pendekatan ‘Rahmat kepada semua’ ini telah membawa suatu kesedaran baharu kepada orang ramai betapa Islam itu tidak sempit seperti yang dibawa oleh sesetengah pihak,” tegasnya ketika menyampaikan ucapan.

Menurut rekod sebelum PRU14, AMANAH di Simpang Renggam hanya mempunyai sebanyak 2 cawangan sahaja namun hari ini peningkatan yang menggalakkan sehingga tertubuhnya 9 cawangan di kawasan tersebut.

Program tersebut turut dihadiri oleh wakil-wakil dari parti komponen PH yang lain dan ia turut diselitkan dengan dialog dari orang tempatan bersama kepimpinan parti.