Malaysia Dateline

Lebih 60 negara dimasuki virus baharu Covid-19 dari UK

Varian baharu Covid-19 berpunca dari United Kingdom (UK) kini dikesan di lebih 60 negara ketika ini, dedah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Negara di seluruh dunia kini berusaha mencari jalan bagaimana hendak membendung penularan varian baharu Covid-19 ketika vaksin belum diperoleh secara meluas dan kematian global akibat pandemik itu melepasi dua juta orang.

Dalam masa sama, varian baharu Covid-19 berasal dari Afrika Selatan dan mirip virus dari UK serta dipercayai lebih mudah tersebar, kini dilaporkan dikesan di 23 negara dan wilayah.

Dalam laporan mingguannya, WHO menjelaskan jumlah kematian meningkat kepada rekod tertinggi 93,000 kes dalam tempoh seminggu dan 4.7 juta kes baharu dicatatkan dalam tempoh sama.

Varian baharu Covid-19 mula dikesan di UK pada pertengahan Disember lalu dan WHO mendapati ia 50 hingga 70 peratus lebih mudah merebak dan berjangkit berbanding virus asal.

Bagaimanapun, varian baharu itu dilaporkan tidak begitu ‘ganas’ untuk menyebabkan kematian.

Untuk rekod, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada 25 Disember lalu berkata, varian baharu Covid-19 dari United Kingdom (UK) itu tidak dijumpai di Malaysia.

Sementara itu, Pfizer serta BioNTech mendakwa vaksin dihasilkan mereka berkesan menentang virus ditemui di British dikenali sebagai B117.