Orang ramai berasa pelik bagaimana scammer begitu berleluasa walaupun laporan kepada pihak polis telah dibuat selain dakwaan nombor telefon berulang yang digunakan oleh golongan penjahat itu.
Penipuan dengan modus operandi seperti menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau bank dengan menuntut sejumlah bayaran tertentu mengakibatkan banyak kerugian terhadap rakyat negara ini.
Mengikut data Suruhanjaya Sekuriti (SC), sebanyak 67,552 kes individu diperdaya penipuan scam sejak 2017 hingga pertengahan tahun lalu dengan kerugian mencecah RM2.23 bilion.
Susulan itu, orang ramai mempersoal sejauhmana tindakan membanteras scammer oleh pihak berkaitan seperti polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), SC dan Bank Negara Malaysia (BNM) serta syarikat telekomunikasi dalam memerangi penipuan scam.
Taktik penipuan scam juga dilihat pelbagai daripada cara konvensional menerusi panggilan telefon hinggalah love scam, pintasan e-mel dan penggodaman menerusi aplikasi telefon pintar berformat APK (Android Application Package).
Seorang guru, Mohd Fadli Salleh juga antara yang musykil mengapa jenayah dilakukan scammer seolah-olah sukar untuk dibanteras.
“Ada report polis. Polis hubungi bank. Tanya maklumat akaun itu milik siapa. Bank bekukan akaun itu sehingga pemilik akaun itu pergi ke bank nak buka balik akaun.
“Sebaik penama akaun hadir ke bank, polis tangkap dan buat siasatan. Jika sah scammer, tangkap dan penjarakan. Selesai,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.
Hantaran guru itu dilihat dipersetujui orang ramai dengan lebih 12,000 tanda suka dan 1,000 perkongsian hanya dalam tempoh 11 jam dimuat naik di media sosial tersebut.
Cikgu Fadli selanjutnya berpendapat semua akaun perlu dibekukan sama sekali jika duit yang disonglap itu sudah berpindah ke akaun orang lain atau melompat lagi ke beberapa akaun sekali pun.
“Semua data ada dengan bank di mana akaun itu dipindahkan sebelum ditunaikan keluar. Masa cash out itu pun ada CCTV bank di mana scammer keluarkan duit.
“Seterusnya, polis tunggu saja di bank tu. Scammer datang nak keluarkan duit tunai, tangkap terus.
“Kalau scammer guna akaun keldai, bekukan saja akaun keldai itu. Tangkap sekali keldai, pasti boleh bawa kepada scammer sebenar. Jadi, orang lain pun selepas ini tak berani lagi jadi keldai,” hujahnya lagi.
Dalam hal berkaitan, mangsa scam dinasihatkan tampil dan laporkan kepada pihak polis supaya tindakan segera dapat dilaksanakan atau merujuk terus kepada CCID di talian 03-26101159 atau 03-26101599.
Sementara itu, pengguna APK perlu berhati-hati dengan hanya memuat turun aplikasi daripada platform rasmi Google, Samsung, Huawei dan seumpamanya, bukan daripada laman sesawang.
Baca juga Ada nenek hilang RM1 juta, ramai tertipu panggilan LHDN dan polis, ini 5 kes mangsa Macau Scam