Malaysia Dateline

Lebih 6,500 penjawat awam, guru agama di Pulau Pinang dihargai

Seramai 4,009 penjawat awam di Pulau Pinang akan menerima bayaran bantuan khas kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, bayaran bonus tersebut berjumlah RM5.5 juta dan akan dibayar pada Disember depan sebagai tanda penghargaan kepada sokongan padu diberikan semua penjawat awam.

“Kerajaan negeri ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan semua pasukan keselamatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

“Selain semua anggota perkhidmatan Persekutuan atas pengorbanan mereka sebagai petugas barisan hadapan, khidmat dan sokongan mereka untuk mengekang penularan wabak Covid-19 serta membantu memastikan kestabilan, keamanan dan ketenteraman awam,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri.

Dalam masa sama, Kon Yeow juga berterima kasih dan mengucapkan tahniah atas segala jasa dan pengorbanan barisan penjawat awam sebagai tulang belakang kerajaan negeri kepada segala perancangan, pelaksanaan dasar dan pembangunan negeri.

“Penjawat awam adalah jentera laksana kerajaan, tanpa mereka pincang urus tadbir negeri. Pencapaian gemilang yang kita kecapi sehingga kini tidak akan dapat diperoleh tanpa komitmen dan sokongan yang jitu daripada mereka,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap bayaran BKK tersebut akan meningkatkan semangat untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang lagi pada tahun akan datang.

Turut dihargai sumbangan mereka dalam institusi pendidikan Islam dan Cina dengan tambahan perbelanjaan berjumlah RM898,900.

Menurutnya, pembayaran sebanyak RM300 akan disalurkan kepada 1,587 Penyelia dan Guru KAFA, 343 Guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 263 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat serta 590 Guru dan Staf Sekolah Persendirian Cina serta pemberian RM200 seorang kepada seramai 320 guru tahfiz, guru pondok dan Guru Tadika Islam (TADIS) Negeri Pulau Pinang pada Disember ini.