Lebih 7 ribu penduduk Kelantan ada bil air tertunggak, cecah RM4.6 juta untuk 2022, 2023

Oleh MALAYSIADATELINE

Masih ada individu yang tidak membayar bil, bukan setakat air sahaja, malah ada yang biar bil elektrik tertunggak berbulan lamanya.

Ditambah pula dengan krisis bekalan air bersih di Kelantan, mungkin ada penduduk yang rasa tidak berbaloi meskipun bil tersebut tidak mahal.

Menurut Buletin TV3, 7,270 pengguna di Kelantan mempunyai hutang bil air tertunggak berjumlah RM4.6 juta bagi tempoh 2022 dan 2023.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), tindakan undang-undang akan diambil kepada pengguna yang belum menjelaskan hutang bil air mereka yang sudah dipotong.

Tegas Jabatan Korporat AKSB berkata, senarai nama dan nombor akaun bil pengguna yang masih gagal membayar tunggakan itu akan diserahkan kepada Peguam AKSB untuk tindakan selanjutnya.

“Sejumlah 3,316 akaun dipotong bagi 2022 dengan hutang RM2.379 juta masih belum dijelaskan dan 2023 pula sejumlah RM2.196 juta direkodkan dengan 3,954 akaun bil air masih lagi berhutang.

“Justeru, AKSB terus mempergiat usaha menuntut hutang sebanyak RM4.5 juta daripada pengguna yang masih gagal menjelaskan hutang bil air yang sudah dipotong itu,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Dalam pada itu gerak kerja Unit Penguatkuasaan AKSB akan membuat pemotongan bil air di rumah pengguna atau premis yang aktif terlebih dulu.

Ini adalah melibatkan pengguna yang mempunyai bil tertunggak melebihi tiga bulan, AKSB juga sudah juga melantik empat ejen kutipan hutang berlesen bagi membuat tindakan susulan.

“Dalam tempoh 45 hari bil akhir dikeluarkan, jika pengguna masih gagal menjelaskan tunggakan, penolakan deposit ke atas baki tunggakan akan dibuat.

“Ini akan menjadikan akaun tersebut adalah tidak aktif dan berhutang,” katanya.

Baca juga: Wanita menyesal beli kereta sambung bayar, Saga FLX lesap dirembat pemilik ‘sah’