Malaysia Dateline

Lebih 700 anggota polis kawal keselamatan, trafik di Stadium Nasional Bukit Jalil

Sejumlah 783 anggota polis akan bertugas mengawal keselamatan dan trafik pada perlawanan separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki 2018 antara Malaysia dan Thailand di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini, esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata kawalan trafik akan dilakukan seawal pukul 2 petang bagi mengelak kesesakan di sekitar kawasan stadium.

“Anggota trafik akan berada di lokasi tertentu yang telah dikenal pasti, polis juga akan lakukan pemeriksaan di setiap pintu masuk ke stadium,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Beliau berkata dianggarkan seramai 80,000 peminat bola sepak akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan perlawanan itu.

Mazlan turut mengingatkan orang ramai untuk tidak membawa barang larangan seperti mercun, suar, senjata, pemancar laser dan topi keledar.

“Orang ramai juga diingatkan supaya datang lebih awal dan disyorkan menggunakan pengangkutan awam bagi mengelak kesesakan,” katanya.

— BERNAMA