Malaysia Dateline

Lebih 700 hektar hutan simpan di Tanah Merah, Kelantan dicadang untuk lombong emas, bijih besi

Tidak kurang 757 hektar Hutan Simpan Kekal (HSK) Sokor Taku, Mukim Sokor di daerah Ulu Kusial, Jajahan Tanah Merah, Kelantan dicadangkan untuk projek perlombongan emas dan bijih besi.

Semakan Malaysia Dateline mendapati, luas kawasan HSK yang bakal ‘disentuh’ projek bagi melombong dua jenis galian itu bersamaan 16 kali ganda keluasan Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur!

Cadangan perlombongan emas (aluvial) seluas 547.4 hektar melibatkan syarikat Jayamas Mining Sdn Bhd, sebuah syarikat perlombongan dan perladangan yang berpangkalan di Kota Bharu.

Menurut laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bertarikh Mac 2022, projek kuari itu meliputi empat lot iaitu Lot 12624, Lot 12625, Lot 12634 dan Lot 12635 di HSK Sokor Taku.

Lokasi cadangan lombong emas lubang terbuka yang diluluskan kerajaan negeri itu dilapor juga dikenali sebagai ‘Golden Belt’ atau Lingkaran Emas.

Satu lagi projek kuari di HSK sama melibatkan cadangan melombong bijih besi di kawasan seluas 210 hektar dengan konsep perlombongan ‘open pit’.

Menerusi maklumat pada Pameran Awam yang dikongsikan Jabatan Alam Sekitar (JAS) semalam, konsep perlombongan ‘open pit’ dikatakan lebih selamat, mesra alam dan mampu menghasilkan bahan dalam kuantiti yang banyak.

Menurut JAS, aktiviti perlombongan emas di kawasan tersebut melibatkan pengeluaran sebanyak 45,000 meter padu sebulan.

Pemberitahuan Ketiga JAS itu juga menyatakan jangka hayat operasi selama 20.4 tahun dengan anggaran perolehan rizab seberat hampir 4.8 juta tan.

Kawasan projek itu turut dikatakan “agak jauh daripada kawasan perumahan” dan boleh “menjana sejumlah besar pekerjaan secara tidak langsung.”

Walau bagaimanapun, tapak projek kuari yang sangat besar itu merupakan habitat haiwan terancam seperti harimau Malaya, gajah Asia dan beruang matahari Malaya selain kijang dan babi hutan yang merupakan haiwan mangsa harimau.

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) dalam mesyuarat antara perunding alam sekitar projek itu memberitahu Hutan Simpan Sokor Taku merupakan habitat kepada tiga kumpulan gajah.

Sementara itu, Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia dalam perkongsian di Facebook rasminya pada 2020 menyaksikan banyak kawasan dalam HSK Sokor Taku sudah ditarah.

Tersebar juga di media sosial, papan projek Warisan Tiara (M) Sdn Bhd di ML 2/2016.

Meor Razak Meor Abdul Rahman

Mengulas kegiatan perlombongan dalam kawasan HSK ini, aktivis Meor Razak Meor Abdul Rahman berpendapat fungsi kepelbagaian hayat hutan dibimbangi terjejas serta akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Penyelidik Lapangan Sahabat Alam Malaysia (SAM) itu ketika dihubungi Malaysia Dateline hari ini menegaskan bahawa Pihak Berkuasa Negeri dilihat tidak mematuhi ketetapan Majlis Tanah Negara (MTN).

“Semasa Mesyuarat MTN ke-70, semua Pihak Berkuasa Negeri digesa mengambil inisiatif mengawal atau seboleh-bolehnya mengelakkan kelulusan kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam HSK,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau juga mempersoalkan sama ada kawasan HSK yang ditukar guna tanah daripada hutan kepada lain-lain guna tanah termasuk perlombongan diambil kira dalam statistik sebagai kawasan berhutan.

“Hal ini seolah-olah ‘menipu’ dan mengelirukan umum kerana pihak berkuasa yang berkenaan mentakrifkan semua HSK adalah sebagai kawasan berhutan,” tegas Meor lagi.

Baca juga ‘Tidak habis-habis musnahkan hutan, Kelantan tidak ambil iktibar bencana bah 2014’