Lebih 7,000 mangsa bah di Kedah, P. Pinang, Perak dipindahkan

Lebih 7,000 mangsa bah di Kedah, P. Pinang, Perak dipindahkan

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak mencecah lebih 7,000 orang setakat 8 pagi hari ini.

Semakan Malaysia Dateline di portal Bencana di bawah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mendapati jumlah mangsa banjir di ketiga-tiga negeri itu membabitkan sebanyak 1,891 keluarga.

Di KEDAH, mangsa bah yang dipindahkan terus meningkat kepada 3,711 orang membabitkan 1,006 keluarga sehingga 8 pagi hari ini berbanding 2,735 mangsa daripada 720 keluarga setakat 8 malam tadi.

Terdapat lima daerah menyaksikan pemindahan mangsa bencana alam itu yang kesemuanya terletak di selatan negeri berkenaan.

Paling ramai mangsa dipindahkan di Kulim mencecah 1,762 orang diikuti Kuala Muda (1,568), Yan (242), Baling (114) dan Bandar Baharu sebanyak 25 orang.

Banjir teruk di Kedah menyebabkan infrastruktur seperti jalan raya rosak.

Di PULAU PINANG, seramai 3,639 mangsa banjir dipindahkan membabitkan 846 keluarga. Mereka ditempatkan di lima pusat pemindahan dengan paling ramai di Seberang Perai Tengah berjumlah 2,009 orang melibatkan 449 keluarga.

Setakat 8 pagi tadi juga, pusat pemindahan di Seberang Perai Utara mencatatkan seramai 851 mangsa banjir daripada 197 keluarga diikuti Timur Laut (315 orang daripada 84 keluarga), Seberang Perai Selatan (268 daripada 62) dan Barat Daya 196 orang daripada 54 keluarga.

Sementara itu, tiga daerah di PERAK ditenggelami air dengan 161 mangsa banjir daripada 39 keluarga dipindahkan.

Paling ramai di Perak Tengah membabitkan 108 orang daripada 24 keluarga manakala 43 orang membabitkan 14 keluarga dipindahkan di Hulu Perak. Hanya satu keluarga di Kuala Kangsar terdiri daripada 10 orang dipindahkan.