Lebih 80 % penduduk Selangor sudah terima 1 dos vaksin

Oleh BORHAN AHMAD

Sehingga 18 Ogos 2021, seramai 3, 822, 096 (80.47%) penduduk Selangor telah menerima 1 dos suntikan vaksin dan seramai 2, 702, 016 (56.89%) penduduk telah melengkapkan 2 dos suntikan vaksin di Selangor.

Menurut Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, oleh itu, negeri Selangor bukanlah negeri yang mempunyai kadar vaksinasi terendah per populasi berbanding negeri-negeri lain.

Dr Mariah berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dalam sidang Dewan Negeri Selangor.

Dr Mariah mengaku, kadar vaksinasi di Selangor pernah berada dalam kedudukan yang agak rendah berbanding jumlah populasi antaranya disebabkan oleh bekalan stok vaksin yang diperolehi pada ketika itu adalah rendah.

Tanpa bekalan vaksin yang mencukupi, Selangor tidak dapat untuk meningkatkan kadar vaksinasi melainkan menggunakan sebaik mungkin semua bekalan vaksin yang telah diberikan, katanya.

Namun, kata beliau, bekalan vaksin untuk negeri Selangor telah mengalami pertambahan yang mendadak menjelang Jun 2021 dan Julai 2021 iaitu pertambahan sebanyak 528 330 untuk bulan Jun 2021 dan pertambahan sebanyak 2 938 900 dos pada bulan Julai 2021.

“Dengan pertambahan jumlah dos vaksin ini kita dapat meningkatkan lagi kadar vaksinasi di Selangor,” kata beliau.

Selain itu, satu jawatankuasa khusus juga telah diwujudkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu Task Force Greater Klang Valley yang merupakan operasi lonjakan kapasiti (surge up capacity) di Lembah Klang yang membantu meningkatkan lagi kadar vaksinasi di negeri Selangor.