Lebih 800 pembeli unit kedai Bazar Perdana berputih mata gagal beroperasi

Lebih 800 pembeli unit kedai Bazar Perdana berputih mata gagal beroperasi
Keadaan Bazaar Perdana yang tidak dapat beroperasi hingga ke hari ini.

Menanggung kerugian sejak membeli lot niaga Bazaar Perdana, Bukit Mertajam amat terasa bagi pembeli yang terpaksa menanggung hutang bank, menghabiskan wang pencen serta simpanan yang ada semata-mata tertarik dengan janji pemaju bahawa bangunan yang mempunyai 1086 unit lot niaga tersebut dapat beroperasi setelah memperolehi sijil pendudukan (OC) pada 2004 lagi.

R SIvarajah

Namun begitu sehingga kerajaan bertukar tangan pada tahun 2018 kedudukan Bazaar Perdana tersebut masih lagi umpama hidup segan, mati tidak mahu.

Yang pasti pembeli lot-lot tersebut terpaksa menanggung beban hutang dengan usia yang telah pun mencecah pencen tanpa dibela oleh mana-mana pihak.

Menurut Pengerusi Badan Pengurusan Bersama atau Joint Management Body (JMB) Bazaar Perdana, Bandar Perda, R.Sivarajah, sehingga kini tiada mana-mana pihak yang tampil untuk memastikan bahawa bazaar tersebut boleh digunakan dan beroperasi dalam masa terdekat.

“Lebih dari 800 peniaga telah membeli unit ini dengan harapan untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan memandangkan ia berada di tengah Bandar Perda dan berdekatan dengan Pekan Bukit Mertajam.

“Sebelum ini pihak pemaju juga memberi jaminan bahawa lot-lot tersebut dapat beroperasi dengan baik, namun begitu setelah beberapa kali aduan dan pertanyaan dibuat, kedudukan bazaar ini masih lagi seperti menunggu buah yang tidak jatuh.

“Kebanyakan kami adalah pesara dan mengharapkan lot niaga ini untuk mendapat sumber pendapatan, tetapi sebaliknya apa yang kami harapkan tidak pernah menjadi kenyataan sejak zaman BN dahulu sehinggalah kini, ” katanya sayu.

Manakala Kamaldeen Mohamed Madar Saiboo menzahirkan rasa kesal setelah terpaksa menanggung beban kerana tidak dapat menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Kamaldeen  Mohamed Madar Saiboo

Malah katanya, pelbagai usaha telah dibuat termasuklah membuat aduan kepada beberapa agensi kerajaan sebelum ini, sebaliknya ia tetap tidak dapat diselesaikan sehingga ini.

“Dulu semasa zaman BN memerintah, kami terpaksa naik turun pejabat pemaju, majlis perbandaran maupun memohon bantuan kerajaan negeri bagi menyelesaikan masalah yang telah berlarutan sekian lama.

“Kini setelah melewati 2019, amat diharapkan kerajaan Pakatan Harapan dapat mengambil tindakan segera termasuklah wakil rakyat yang ada bagi kawasan Dun dan Parlimen tersebut.

“Hanya pada kerajaan yang ada kini sahaja kami menaruh harapan setelah terbukti dengan ketara kerajaan BN dahulu tidak mampu menyelesaikan kemelut yang telah berlarutan hampir 15 tahun selepas mendapat OC, ” ujarnya sedih.

Sehubungan itu kata Kamaldeen, jawatankuasa JMB sedia ada tidak dapat berperanan kerana bangunan sedia ada yang tersergam indah hanya umpama ‘gajah putih’ yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada pembeli maupun penduduk sekitar.

Sebaliknya ia menyakitkan mata memandang dan memberi kerugian yang amat besar kepada majoriti pembeli Bumiputera yang mengharapkan nasib mereka dibela, tetapi berlaku sebaliknya tanpa apa-apa pembelaan hingga kini