Malaysia Dateline

Lebih 90% pelajar bakal tercicir kerana mahukan kecanggihan

Lebih 90 peratus kanak-kanak di negara ini bakal tercicir dalam pelajaran mereka apabila kerajaan melaksanakan pendekatan pembelajaran digital dan atas talian dengan menggunakan tablet, laptop atau telefon pintar.

Bekas anggota Majlis Penasihat Kerajaan Malaysia, Profesor Jomo K Sundran berkata, ini kerana, lebih 90 peratus pelajar sekolah rendah dan menengah di negara ini tidak mempunyai alat pembelajaran tersebut.

Padahal, kata beliau, kerajaan boleh menggunakan pembelajaran menerusi televisyen dan radio, ketika mereka tidak boleh ke sekolah akibat pandemik Covid-19, kerana lebih 90 peratus pelajar dan kanak-kanak di Malaysia mempunyai alat tersebut.

“Tetapi sekarang kita kononnya nak jadi canggih, moden dan masuk zaman digital, kita biarkan lebih 90 peratus itu ketinggalan,” kata Dr Jomo, seorang pakar ekonomi Malaysia yang pernah bertugas dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dalam satu klip video yang kini ditular ke media sosial.

Menurut beliau, TV dan radio memang sudah menjadi alat pendidikan yang popular sejak dahulu dan digunakan di seluruh dunia termasuk di Malaysia untuk pendidikan.

Namun ia tidak digunakan tetapi kerajaan memilih pendekatan digital dan atas talian kerana mahukan kecanggihan.

“Perkara ini berlaku apabila pihak berkenaan membuat dasar berdasarkan mahu kecanggihan dan mementingkan masalah orang yang berada dan berpengaruh.

“Akibatnya kita dapati bahawa ramailah anak orang susah diabaikan,” kata beliau lagi.

Kementerian Pendidikan mengaku, sebanyak 36.9 peratus murid di seluruh negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik.

Demikian jelas Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin, selepas kementeriannya menjalankan satu kaji selidik berhubung Pengajaran dan Pembelajaran (PnP) secara atas talian.

Daripada dapatan itu, hanya enam peratus murid mempunyai komputer peribadi, tablet (5.67 peratus), komputer riba (sembilan peratus) dan telefon pintar (46 peratus), lapor media pada April 2020.

Namun dalam masa yang sama lebih 52 peratus pelajar di Sabah misalnya tidak mempunai akses kepada internet untuk pembelajaran atas talian yang kini digunakan oleh kerajaan.

Ini bermakna, mereka tidak mungkin dapat manafaat dari Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian berjalan lancar sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarah Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin, berkata ketiadaan kemudahan itu terutama dalam kalangan pelajar di luar bandar dan pedalaman negeri ini, menjadikan pelaksanaan sesi PdPc dalam talian begitu mencabar buat guru-guru.

“Walau bagaimanapun, cabaran mengendalikan sesi PdPc dalam talian wujud kerana pelajar terpisah dengan kemudahan itu memandangkan mereka perlu menyertai sesi pembelajaran di rumah. Ada pelajar tiada akses internet selain faktor pemilikan gajet yang rendah,” katanya.

Ada yang berpendapat, penggunaan TV dan radio tidak cukup berkesan dalam pembelajaran kerana pendidikan perlukan komunikasi dua hala yang boleh dilakukan dengan menggunakan pendekatan digital dan atas talian.

“Isu kekurangan peralatan perlu di selesaikan oleh kementerian dengan memberikan fokus kepadanya,” kata beliau dalam satu tulisan.

Namun begitu, pandangan beliau disanggah oleh satu pihak lain kerana wabak ini sementara sahaja dan ia memerlukan penyelesaian segera dan tidak memerlukan belanja yang besar kerana selepas ini peralatan tersebut tidak lagi berguna untuk pembelajaran selepas kelas boleh dibuka semula.

“Lainlah kalau kita mahu memberi projek kepada kroni kita,” kata aktivis politik, Mansor Zakaria itu.