Malaysia Dateline

Lebih baik fokus pendidikan berkualiti, bantu peniaga kecil berniaga

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pentingnya keutamaan diberi kepada polisi dalam meningkatkan status sosioekonomi rakyat.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pelbagai isu rakyat berkaitan ekonomi dan pendidikan adalah lebih baik diberi perhatian apabila melibatkan inisiatif pemberdayaan Bumiputera dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Daripada fokus isu ekuiti untuk golongan elit semata-mata, lebih baik fokus isu rakyat.

“Pendidikan berkualiti, bantu peniaga kecil berniaga, sediakan sokongan mikro kredit.

“Ini sampai rakyat kena panjat pokok nak guna internet, buka paip keluar teh tarik,” sindirnya dalam ciapan di Twitter.

Di Dewan Rakyat semalam, Syed Saddiq (Bebas – Muar) juga menegaskan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera akan menguntungkan “kroni dan elit” bukannya Bumiputera miskin.

“Bagaimana dasar ini akan membantu golongan susah di Malaysia.

“Bagaimana ia akan bantu nelayan di Tanjung Piai, Petani di Alor Setar, di Jerlun? Atau peniaga-peniaga kecil di Muar?

“Realitnya, dasar ini populis tapi sama sekali tak bantu golongan Melayu yang susah,” tegasnya.

Kelmarin, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, pegangan saham Bumiputera berada pada 17.2 peratus, bukan Bumiputera 25 peratus, entiti asing 45.5 peratus dan pemegangan saham nominee 12.3 peratus.

Di bawah RMK-12, Ismail mengumumkan kerangka jaringan keselamatan baru untuk memastikan saham atau syarikat bumiputera hanya dapat dijual kepada entiti bumiputera.

Ini untuk meningkatkan pemilikan ekuiti korporat bumiputera kepada minimum 30 peratus.