Malaysia Dateline

‘Lebih baik guna kaedah PH kawal harga barang’

Perikatan Nasional (PN) seharusnya menggunakan kaedah yang dipraktikkan Pakatan Harapan (PH) dalam mengawal kenaikan harga barangan terutama ketika menjelang musim perayaan.

Majlis Setiausaha PH berkata, tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) ketika ini dianggap lambat dan gagal untuk mengawal kenaikan harga barang dengan memuaskan.

“Salah satu perkara asas yang dilaksana kerajaan PH tetapi tidak diteruskan PN adalah pengawalan jumlah barangan kawalan dan jumlah hari kawalan.

“Perbezaan jumlah barang dan hari kawalan ini cukup memberi kesan kepada harga barangan keperluan akibat permintaan tinggi khusus sekitar musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri.

“PN seharusnya menggunakan kejayaan PH mengawal kenaikan harga barang sepanjang 22 bulan mentadbir sebagai kayu ukur, dan meneruskan dasar-dasar yang menjaga kemaslahatan dan kebajikan rakyat,” dipetik dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama Setiausaha Agung (SUA) AMANAH, Datuk Dr Hatta Ramli; SUA PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution; dan SUA DAP, Chong Chien Jeng.

Dalam pada itu, PH menggesa agar jumlah barangan dalam Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) segera ditambah.

Ini selepas kerajaan mengumumkan hanya 11 barangan yang disenaraikan dalam Skim SHMMP pada musim perayaan kali ini yang dilihat agak ketara dengan jumlah senarai kawalan harga barangan pada tahun lalu iaitu sebanyak 27 jenis barangan.

PH berkata, tempoh kuatkuasa kawalan juga perlu dinaikkan berbanding hanya 15 hari pada masa ini.

“Segera laksanakan apa-apa lagi langkah yang patut untuk menurunkan harga barangan keperluan penting bagi Hari Raya Aidilfitri.

“Dalam keadaan ramai mula hilang punca pendapatan malah juga pekerjaan, dibeban pula dengan perbelanjaan besar menjelang Hari Raya, perkara yang paling diharap oleh rakyat adalah kerajaan yang prihatin dan proaktif menyelesaikan masalah rakyat,” tambah Majlis Setiausaha PH lagi.