Malaysia Dateline

Lebih baik Ismail ganti menteri-menteri dengan penasihat khas, kata MP

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Kesihatan Malaysia (KKM), Khairy Jamaluddin perlu menjelaskan alasan pelantikan penasihat khas selepas kedua-dua pemimpin berkenaan kini mempunyai tiga orang penasihat tersendiri.

Untuk rekod, Ismail dan Khairy masing-masing mempunyai penasihat khas di mana Ismail dilaporkan bakal menerima penasihat khas ketiga dalam bidang kesihatan.

Ahli Parlimen Pulai, Teo Nie Ching mempersoal apakah alasan Ismail Sabri melantik penasihat khas baru dalam bidang kesihatan biarpun Kabinetnya mempunyai menteri dan dua timbalan menteri kesihatan beserta tiga penasihat khas kesihatan.

“Adakah perkara ini menunjukkan kekurangan kepercayaan perdana menteri sendiri pada menteri dan kementerian beliau?

“Kalau begitu, lebih baik PM gantikan menteri sekarang dengan penasihat khas yang dicadangkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga bekas Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Dimistra Steven Sittampalam; dan Datuk Mohamad Iruan Bin Zulkefli dilantik sebagai penasihat khas KKM.

Sementara itu, Teo menggesa agar Khairy menjelaskan apakah kepakaran ketiga-tiga penasihat khas yang dilantiknya dalam direktori KKM.

“Apakah kepakaran dan pengalaman mereka yang amat diperlukan oleh KKM?

“(Jelaskan) gaji, elaun dan sebagainya yang diterima oleh ketiga-tiga penasihat khas ini,” katanya.