Malaysia Dateline

Lebih baik jumpa Naib Canselor UM daripada keluarkan kenyataan media

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mencadangkan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya supaya mengadakan perjumpaan dengan Naib Canselor universiti itu, Dr Abdul Rahim Hashim dalam masa terdekat.

Dr Maszlee berkata, adalah lebih baik mereka berjumpa dengan Dr Abdul Rahim daripada mengeluarkan kenyataan media.

“Saya cadangkan mereka berjumpa Naib Canselor sendiri daripada membuat kenyataan media.

“Biar mereka suarakan rasa tak puas hati dengan Dr Abdul Rahim secara terbuka,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Maszlee berkata, pihaknya percaya Abdul Rahim cukup terbuka dan boleh mendengar sebarang pandangan daripada mahasiswa sendiri.

Semalam, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya menggesa Naib Canselor, Dr Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan berikutan ucapannya pada Kongres Maruah Melayu yang didakwa bersifat perkauman.

Naib Presidennya, Yap Wen Qing berkata gesaan itu dibuat terhadap Abdul Rahim kerana mengeluarkan hujah-hujah yang bersifat perkauman, pada masa tidak mampu untuk menyelesaikan krisis kewangan dan kebajikan mahasiswa di universiti terunggul di Malaysia itu.