Lebih baik Mufti Pahang letak jawatan masuk politik

Lebih baik Mufti Pahang letak jawatan masuk politik

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman dinasihatkan menceburi politik jika hanya mahu mengeluarkan kenyataan menyerang Pakatan Harapan.

Ahli Jawatankuasa Amanah Nasional, Hu Pang Chaw berkata, dakwaan mufti kontroversi itu bahawa DAP tergolong dalam kalangan kafir harbi yang wajib ditentang oleh umat Islam amat melampaui batas.

“Kalau Mufti Pahang mahu pro kepada Umno-BN, lebih baik dia letak jawatan. Dia sebagai agamawan perlu tahu apa matlamat atau hala tuju dia apabila diberi tanggungjawab sebagai mufti.

“Institusi mufti sepatutnya tidak menjadi jurucakap pemerintah yang rasuah dan zalim. Mufti harus menterjemahkan nilai murni dalam Islam agar dapat dicontohi bukan buat huru-hara dalam masyarakat,” bidasnya ketika ditemui pada Majlis Iftar dan Taujihad Ramadan Amanah Batu, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, kenyataan provokatif oleh mufti itu juga dibimbangi mencetuskan permusuhan  dalam masyarakat majmuk di negara ini.

“Mufti itu tahukah makna sebenar kafir harbi atau bercakap atas kepentingan tertentu?

“Apa yang saya tahu selagi ada kerakyatan sah, dilindungi undang-undang negara dan tidak memerangi pemerintah, orang bukan Islam tidak boleh dipanggil kafir harbi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Pang Chaw berpendapat Islam menuntut manusia membawa kesejahteraan kepada semua bukan menimbulkan bibit-bibit permusuhan yang tidak menguntungkan umat. 

“Namun, berbeza dengan Abdul Rahman. Bagi saya dia tak layak untuk pegang jawatan mufti kalau mengeluarkan kenyataan sewenang-wenangnya,” bidasnya lagi.

COMMENTS

Wordpress (0)