Malaysia Dateline

Lebih baik Muhyiddin angkat bendera putih, kata AMANAH Pulau Pinang

Dalam situasi kronik dan kelam-kabut ketika ini, tindakan yang terbaik bagi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah melepaskan jawatan beliau sebagai PM dengan kadar segera.

Menurut Pengarah Komunikasi AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria, apabila Yang di-Pertuan Agong memanggil semua ketua-ketua parti menghadap, maka dengan itu PM harus menyedari dia sudah tidak diyakini dan boleh diibaratkan kini berada pada situasi yang genting.

“Bak kata pepatah, ia kini ibarat telur dihujung tanduk mahupun perumpamaan yang sinonim iaitu umpama nyawa-nyawa ikan.

“Sebetulnya dalam kalangan rakyat, reputasi PM kini sudah tercalar, koyak-rabak apabila semua ketua-ketua parti menghadap. Sekiranya Muhyiddin tidak melepaskan jawatan, memanjangkan tempoh darurat sahaja mampu menyelamatkan beliau.

“Sekiranya Muhyiddin bersetuju Parlimen dibuka, peraturan pertama Parlimen sudah tentu menguji keabsahan beliau sebagai PM dan impaknya sukar bagi Muhyiddin mencapai sokongan majoriti mudah dari seluruh kerusi Parlimen sedia ada,” tegas beliau.

Sejajar dengan itu kata Dr Zaidi, adalah lebih baik bagi Muhyiddin terlebih awal mengangkat ‘bendera putih’.