Malaysia Dateline

Lebih baik nyatakan kebenaran, amalkan integriti, kata Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berpendapat menyuarakan kebenaran dan mengamalkan integriti dalam pentadbiran adalah lebih baik daripada merahsiakan mengenai kedudukan kewangan negara.

Menjelaskan persepsi beliau terlalu agresif di sebalik sebagai menteri yang produktif, katanya beliau marah dengan penyelewengan oleh kerajaan terdahulu apabila beliau mula mengambil alih jawatan tersebut pada Mei 2018.

“Saya menjelaskan kepada anda sebab mereka berpendapat saya agresif dan terlalu terbuka. Ini disebabkan semasa saya mula menjadi Menteri Kewangan, saya amat marah pada sidang media pertama saya. Apabila saya melihat angka, rupanya ia lebih teruk daripada yang saya jangkakan. Kita membayar pinjaman 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

“Melihat pula kepada sebahagian besar tender, 88 peratus daripada nilai projek atau RM8.3 bilion telah dibayar tetapi hanya 10 peratus (telah siap) di lapangan. Bagaimana boleh jadi begitu Jika anda tidak marah, anda bukan manusia,” tegasnya.

“Oleh itu, apabila saya marah terhadap penyelewengan yang sedemikian, saya ingin menyatakan yang benar dan jika ia salah, apa yang boleh saya katakan, tetapi saya akan tetap memberitahu yang benar,” katanya dalam temu bual dengan organisasi media terpilih di pejabatnya baru-baru ini menjelang sambutan satu tahun pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei tahun lepas.

Ditanya sama ada tindakan agresifnya itu mempengaruhi sentimen pelabur, Lim mengakui bahawa ia mungkin telah mewujudkan gelombang kejutan dalam pasaran pada peringkat awal pentadbiran kerajaan baharu itu selepas banyak isu-isu tadbir urus didedahkan.

“Saya fikir mungkin mereka tidak biasa dan mungkin ada kesannya, tetapi akhirnya dalam jangka masa panjang, pelabur mahukan sebuah kerajaan yang mereka boleh percayai.

“Oleh itu, apabila kita pergi ke agensi penarafan antarabangsa, walaupun defisit perlu dinaikkan kepada 3.7 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan skandal 1MDB dan skandal-skandal lain, tetapi penarafan kita masih kekal,” katanya.

Mengetahui terdapat beberapa pihak yang mempersoalkan sebab penarafan kredit negara dikekalkan, Lim menegaskan kerajaan akan terus telus dan komited kepada pembaharuan institusinya.

Lim memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan akan terus mengukuhkan kedudukan fiskal dan kewangan Malaysia.

“Selepas tiga tahun, rakyat akan melihat sebuah negara yang lebih mampan, lebih kuat dan lebih telus dan yang paling penting jauh lebih bersih,” katanya. – BERNAMA