Malaysia Dateline

Lebih baik terus terang isytihar keluar parti daripada bersikap subversif

Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi berkata, beliau menyambut baik mana-mana pemimpin atau bekas pimpinan wanita parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang berterus terang isytihar diri keluar parti. berbanding terus berada di dalam dan menjalankan pelbagai aktiviti “subversif” khianat .

Kata beliau,  ia lebih baik berbanding mereka terus berada dalam parti dan menjalankan pelbagai aktiviti “subversif” khianat.

Hal ini ujarnya, penting bagi membolehkan wanita menggerakkan gerak kerja dan kerjasama yang lebih jujur dalam gabungan Wanita PH secara keseluruhannya.

“Organisasi Wanita PH sesungguhnya memerlukan gabungan dan kerjasama kepimpinan wanita yang lebih mengutamakan kualiti kerjasama matang untuk wanita Malaysia, berbanding individu-individu yang mahu memegang sesuatu posisi hanya untuk memprojeksi diri, kelompok dan partinya semata-mata,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya lagi, sebagai kepimpinan yang dipertanggungjawabkan memimpin gabungan Wanita Pakatan PH, kita harus mempunyai jiwa besar dan upaya memikirkan serta menggerakkan kejayaan wanita merangkumi semua, atas semangat Pakatan Harapan itu sendiri.

“Bukan sebaliknya bertindak seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apatah lagi dalam situasi di mana perjuangan politik wanita di Malaysia masih berada pada tahap yang belum utuh,” katanya.

Beliau dipercayai mengulas mengenai Adun Sementa yang juga adalah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Selangor, Daroyah Alwi mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam.

Daroyah yang merupakan wakil rakyat terbaru dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali, meninggalkan parti itu atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan parti yang dipimpin Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Daroyah berkata, buat masa ini beliau tidak berhasrat untuk menyertai mana-mana parti dan akan bergerak sebagai Adun Bebas.