Malaysia Dateline

Lebih baik tutup JKR, serah kepada konsesi

Berkenaan dengan isu konsesi yang kini hangat diperkatakan, kerajaan hari ini dicadangkan untuk menutup Jabatan Kerja Raya (JKR) dan serah kepada konsesi dalam menguruskan hal penyelenggaraan jalan.

Cadangan itu disuarakan oleh Adun Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim yang mendakwa tugas JKR selama ini dilihat seperti telah diserahkan kepada pihak konsesi.

“Tidak perlu lagi rasanya untuk JKR beroperasi sekiranya semua kerja termasuk kerja-kerja semakan kualiti kerja pun dilakukan oleh syarikat konsesi.

“Ternyata jelas JKR hanya makan gaji buta kerana kerja mereka semuanya telah dilakukan oleh orang lain dan inilah perkara yang membimbangkan,” desaknya.

Beliau yang sebelum ini mengeluarkan kenyataan berkenaan dengan kontraktor kecil bumiputera akan gulung tikar selepas pemilihan konsesi ini turut menegaskan bahawa tindakan kerajaan dalam sistem tersebut adalah salah.

Jelasnya, terdapat suara-suara kontraktor di negara ini yang semakin berani menyatakan pandangan berkenaan dengan sistem yang berlangsung ini mengundang penyisihan terhadap kontraktor-kontraktor lain.

“Sistem ini salah kerana tidak mungkin ada dua badan bagi menjalankan satu perkara yang sama. Duplikasi kerja akan menyebabkan pembaziran wang rakyat atau pembayaran cukai.

“Jika sistem penswastaan secara konsesi ini yang terbaik maka bahagian-bahagian kejuruteraan penyelenggaraan jalan di JKR, PBT dan Pejabat daerah wajar ditutup.

“Ia bukan sahaja menutup ruang kepada kontraktor kecil malah ia juga akan menjejaskan masa depan pelajar-pelajar program ‘upskilling’ dan ‘reskilling’ daripada pusat-pusat dan institusi kemahiran.

Di Johor sahaja hampir 50,000 pelajar dan peluang mereka untuk berkerja dan berniaga pastinya akan menjadi sempit,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Khairuddin telah mengeluarkan laporan berkenaan dengan isu ini dan telah mendapat perhatian pelbagai pihak termasuk Persatuan Kontraktor di negara ini.

Terdapat enam syarikat konsesi yang telah diberikan kuasa dalam menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di negara ini dan salah satunya adalah syarikat konsesi Safwa Global Venture Sdn Bhd yang menjadi syarikat konsesi di negeri Johor.