Malaysia Dateline

‘Lebih baik Warisan mula sertai gabungan kerajaan’

Selepas kekalahan Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis semalam, kepimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu melakukan penambahbaikan drastik bagi mengukuhkan semula kedudukan kerajaan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar, berkata setiap kepimpinan perlu mengambil pengajaran dari kekalahan tersebut bagi mempersiapkan diri menghadapi pemilihan yang lebih hebat pada Pilihan Raya Umum ke-15 nanti.

Menurutnya, sikap idealis tidak boleh lagi diamalkan sekiranya dasar yang dibawa akhirnya tidak sampai secara menyeluruh ke setiap peringkat masyarakat.

“Kita semua perlu mengambil iktibar dan pengajaran dari semua yang berlaku. Kita punya masa lagi tiga tahun sebelum tamat tempoh penggal ini di mana perlu adanya penambahbaikan yang drastik dari kepimpinan.

“Kita tak boleh terlalu idealis sehingga rakyat tak dapat memahami apa yang kita nak bawa.

“Sebaliknya, kita perlu lebih banyak mendidik, membentuk minda dan membela jiwa dikalangan masyarakat kita ini berbanding terus-terusan merombak sistem yang sedia ada,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Pada masa sama katanya, beliau mengakui kekalahan Warisan di Kimanis disebabkan parti itu tidak serius menangani isu Pas Sementara Sabah (PSS) yang sengaja dimainkan parti pembangkang.

Malah, menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia itu, tindakan Barisan Nasional (BN) yang menggunakan isu PSS hanyalah untuk memancing sokongan rakyat dan bukannya memfokuskan isu pembangunan masyarakat dan keselamatan negara.

Justeru, Mahfuz berkata, adalah lebih baik jika Warisan mula menyertai gabungan kerajaan berbanding hanya menjadi ‘rakan strategik’ bagi memperkukuhkan lagi sokongan rakyat disamping memperoleh peluang memanfaatkan tenaga jentera sebaiknya.

“Kita perlu menggerakkan jentera parti secara lebih menyeluruh dan saya melihat bahawa di Sabah, perlu adanya gabungan yang lebih mantap.

“Tak boleh lagi gabungan bersifat Warisan plus PH, tak boleh lagi begitu. Kita mesti kena satu gabungan yang lebih ampuh dan kukuh supaya akhirnya gerakan jentera parti itu dapat digerakkan bersama.

“Lebih baik Warisan menyertai PH secara rasmi. Bukan sebagai rakan strategik semata-mata tapi sebagai anggota PH dan bersama kita bergerak atas nama PH,” jelasnya.

Dalam pada itu, tambah Mahfuz, kemenangan BN adalah bukti amalan demokrasi berlaku dengan baik dalam negara selain menzahirkan sifat terbukanya yang menyerahkan segala pilihan kepada rakyat untuk menentukan politik negara pada masa akan datang.