Malaysia Dateline

Lebih banyak pihak diseru adakan program perkasa wanita,kata Wan Azizah

 Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menyeru lebih banyak pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tampil memperkasakan wanita menerusi pelbagai program, sebagai usaha membantu menjayakan agenda pembangunan wanita negara.

Beliau berkata program berkaitan memperkasakan wanita itu juga perlu dibuat berterusan, supaya golongan terbabit tidak terpinggir sekali gus dapat melibatkan diri dalam semua bidang.

“Dalam usaha untuk mencapai objektif ini, KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) mengalukan-alukan kerjasama NGO-NGO dan badan korporat untuk merangka pelbagai inisiatif melalui program-program turun padang serta menawarkan perkhidmatan dengan lebih bersepadu bagi memenuhi keperluan dan harapan kumpulan sasar.

“Seperti program ‘Gift of Love by KLSCWO (Kuala Lumpur and Selangor Coalition of Women Organisation)’, yang dilaksanakan bagi membantu dan memperkasakan wanita khususnya suri rumah, ibu tunggal dan wanita yang tergolong dalam kumpulan B40,” katanya ketika berucap pada majlis  ‘Anugerah KLSCWO – Women of Excellence 2019’ di Universiti Mahsa di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Presiden KLSCWO Puan Sri Anita Aqeela Hiong.

Dr Wan Azizah berkata program ‘Gift of Love’ anjuran KLSCWO yang telah dimulakan sejak Mei 2018 itu bukan sahaja memfokuskan kepada bantuan kebajikan kepada wanita, tetapi turut membantu penyediaan kemudahan bagi memperbaiki diri golongan berkenaan supaya dapat  keluar daripada kemiskinan.

“Inisiatif (program) ini termasuk menyediakan bengkel latihan percuma, kelas e-dagang dan latihan kemahiran asas sepanjang tahun,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Wan Azizah berkata kerajaan  akan turut meneruskan pelaksanaan program pemerkasaan wanita bagi memastikan golongan wanita menikmati kehidupan yang sejahtera dan membolehkan mereka menyumbang secara aktif dan berkesan kepada pembangunan negara.

Beliau berkata  antara program itu ialah pengupayaan ekonomi wanita melalui kaedah ‘Community Based Enterprise (CBE)’ yang dilaksanakan Pejabat Pembangunan Wanita Negeri (PPWN).

“CBE adalah satu bentuk pendekatan keusahawanan yang menggunakan konsep kerjasama antara tenaga pengajar, pengusaha, individu berkemahiran dan usahawan untuk berkongsi ilmu.

“Menerusi pendekatan ini, wanita termasuk suri rumah dan ibu tunggal akan dibimbing supaya mereka ini tahu bagaimana untuk menjana pendapatan  masing-masing,“ katanya.

Terdahulu, Dr Wan Azizah menyampaikan anugerah  ‘KLSCWO Women of Excellence 2019’  kepada rakan strategik KLSCWO termasuk Malaysia Chinese Women Enterpreneurs Association dan Malaysia Nurses Association, sebagai penghargaan terhadap mereka yang cemerlang dalam bidang masing-masing.-BERNAMA