Malaysia Dateline

Lebih berdikari, minda kelas pertama akan bawa Melayu maju ke hadapan

Orang Melayu digesa untuk lebih berdikari dan memiliki minda kelas pertama bagi membolehkan mereka terus berada di hadapan dan bersaing dengan kaum lain di negara ini.

Ketua Srikandi Rina Mohd Harun berkata, menjadi hasrat parti supaya orang Melayu tidak terus berada di belakang dan mengharapkan sokongan orang lain untuk maju ke hadapan.

“Sikap merendah diri dan anggapan tidak mampu untuk maju kehadapan perlu diubah kerana dunia tanpa sempadan kini menuntut setiap orang perlu berusaha untuk maju.

“Hanya dengan perubahan minda, sikap, peningkatan ilmu dan kemahiran, jurang ekonomiantara kaum mampu dirapatkan,” ujarnya ketika berucap pada pengulungan persidangan hari ketiga dalam Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu kali ke-2 hari ini yang diadakan di Dewan Plenery Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya hari ini.

Rina yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, orang Melayu harus lebih berdaya saing dan proaktif di dalam pemikiran dan tindakan untuk merealisasikan peranan sebagai sumber modal insan, penggerak ekonomi dan sebagai lambang kebudayaan dan jati diri rakyat Malaysia.

“Orang Melayu tidak lagi harus dianggap masyarakat ‘subsidi’ kerana terdapat pelbagai sumber jaya yang berpotensi dijana secara mampan.

“Jika kita telusuri, agenda bumiputera sejak sekian lama diberi penekanan kerana kepentingannya kepada kestabilan dan kemakmuran negara. Oleh yang demikian, semua perancanganserta dasar ekonomi Melayu dan Bumiputera sejak merdeka telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk
tersebut

“Oleh yang demikian, Bersatu memainkan peranan dalam usaha membangun orang Melayu supaya bahagian mereka dalam negara ini terpelihara, seperti kaum-kaum lain memelihara kaum mereka,” ujarnya.

Dalam pemerkasaan ekonomi bumiputera Menteri Kemajuan Luar Bandar ini juga berkata, kementeriannya telah mewujudkan inisiatif Desa Harapan dalam usaha merapatkan jurang ekonomi antara kaum.

“Inisiatif ini membuka peluang kepada syarikat-syarikat di sektor kewangan, swasta dan GLC untuk menaja dan membangunkan ekonomi desa mengikut potensi, sumber alam atau industri pengeluaran desa tersebut.

“Dalam inisiatif ini juga, Kerajaan dan syarikat yang berminat akan menyediakan bimbingan pengurusan professional seperti penyediaan pelan perniagaan, laporan kewangan, laporanpentadbiran dan sebagainya.

” Disamping itu, ketua-ketua kampung akan diangkat fungsinya menjadi ketua pemacu ekonomi desa.

“Objektif inisiatif ini adalah mewujudkan jaringan kerjasama antara badan-badan korporat dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) serta penduduk kampung dalam pembangunan luar melalui aktiviti ekonomi mampan. Ini membolehkan masyarakat desa terlibat secara langsung dalam perancangan dan pembangunan
negara,” ujarnya.

Katanya, inisiatif ini dilihat dapat meningkatkan hubungan dan pemahaman badan-badan korporat terhadap isu-isu luar bandar disamping menggalakkan masyarakat desa, khususnya generasi muda untuk terus tinggal dan membina masa hadapan di luar Bandar.