Malaysia Dateline

Lebih penting muktamadkan siapa TPM, menteri pengganti, dasar PH Plus

Bukan jawatan Perdana Menteri yang perlu dibincang dalam mesyuarat Pakatan Harapan Plus kerana hal itu sepatutnya sudah muktamad sebelum perbincangan bermula, kata aktivis blogger, Edy Noor Reduan.

Sebaliknya, beliau berpendapat hal berkaitan siapa Timbalan Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet bagi mengisi kelompongan terdahulu lebih bincang dimuktamadkan.

“Lebih penting ialah dasar-dasar kerajaan PH Plus sekiranya berjaya menjadi kerajaan semula,” tegas pimpinan PKR Negeri Sembilan itu.

Menganggap perbincangan tentang siapa Perdana Menteri sebagai membuang masa, Eddy mengingatkan langkah mengambil semula tampuk pentadbiran kali ini tidak sesekali dengan cara tawar-menawar.

“Tidak wajar jika ada calon PM yang mengaku mendapat sokongan dari sebilangan MP (Ahli Parlimen) sedangkan persetujuan telah dimuktamad dalam perjanjian Januari 2018.

“Perjanjian Januari 2018 tetap laku selagi penggal ke-14 masih berjalan, melainkan jika Parlimen dibubar sekali gus menamatkan penggal ke-14,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengikut konsensus PH pada Januari 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar namun tiada tarikh tertentu ditetapkan.

Perang mulut dalam kalangan penyokong Mahathir dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berlaku ketika pentadbiran PH termasuk pimpinan sayap tertinggi parti seperti Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli Parlimen Muar itu menyifatkan desakan supaya Mahathir meletakkan jawatan sebagai tidak bertanggungjawab dan membelakangkan konsensus PH.

Edy Noor Reduan

Mengulas lanjut, Edy berpendapat PH membuang masa dalam tempoh seminggu ini untuk menamakan siapa Perdana Menteri.

“Sebenarnya kita tahu siapa lebih layak. Kita wajar cakna siapa yang sepatutnya menjadi Perdana Menteri Interim untuk satu tempoh sebelum memberi laluan kepada yang hak,” katanya.

Beliau menyifatkan Anwar sebagai lebih layak atas faktor pengalaman, hubungan antarabangsa, keutuhan prestasi dalam soal ekonomi serta dalam soal mengangkat martabat rakyat, dan ketokohan dalam membawa agenda Reformasi.

“Jika benar-benar mahukan perubahan dan memperbaiki kesilapan 22 bulan dalam pentadbiran yang kadang-kala melukakan hati rakyat, masih belum terlambat untuk berbuat demikian,” katanya.

Peluang terakhir

Membandingkan dengan Perikatan Nasional (PN), Edy menyifatkan PH jauh lebih baik kerana mempunyai prinsip dan menunaikan janji.

“Kita bukan seperti mereka (PN), yang maruah politiknya begitu rendah apabila menawarkan jumlah paling ramai menteri demi membeli kuasa, dan melelong kedudukan demi mengekalkan kuasa,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan PH akan mengambil semula mandat rakyat tetapi bukan dengan cara seperti PN.

“Dalam erti kata lain, kita mendambakan peluang untuk sekali lagi mentadbir, maka tawarkanlah kesepakatan dengan memberi peluang kepada ‘pembaharuan’.

“Sebenarnya segala rundingan telah gagal sebelum perbincangan bermula, apabila kita tidak mampu menilai dan tidak mampu mengekalkan setiakawan dalam melaksanakan janji,” tegasnya.

Tambah Edy, peluang mengambil semula kerajaan kali ini mungkin peluang terakhir untuk satu keputusan paling tepat dalam usaha untuk menafikan pengguguran pelbagai dakwaan dalam kes berprofil tinggi dan mengelakkan negara ini daripada terus dijarah.

“Ini juga mungkin peluang terakhir untuk seorang negarawan ulung membuktikan bahawa pengorbanan itu bukanlah milik sebelah pihak semata-mata.

“Dia juga boleh lakukannya demi menebus kesilapan terdahulu,” tegas Edy lagi.