‘Lebih penting selamatkan negara dan lindungi rakyat daripada pengiktirafan antarabangsa’ – PMX

Oleh MAISARAH AISYA

Umum tahu mengenai kedudukan Malaysia jatuh dalam laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 selepas mengambil tindakan tegas terhadap isu perkauman dan agama.

Disebabkan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan langkah menyelamatkan negara dan melindungi hak rakyat adalah lebih penting.

Memetik Bernama, Anwar tidak mahu markah yang tinggi hanya untuk mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Saya tidak kisah, tak mengapa jika kedudukan negara kita diturunkan hanya kerana kita mengambil tindakan keras terhadap golongan yang fanatik dalam isu perkauman dan agama.

“Bagi saya, untuk menyelamatkan negara ini dan melindungi hak rakyat majoriti serta minoriti adalah lebih penting daripada memperoleh markah yang tinggi bagi mendapatkan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

“Jika anda membiarkan ketaksuban dalam isu perkauman atau fasisme atau agama membiak maka anda perlu menjangkakan kemungkinan wujudnya ketidakharmonian agama,” katanya seperti dipetik Bernama.

Pada masa sama Anwar memaklumkan demokrasi yang bertenaga tidak boleh matang tanpa kebebasan media.

Golongan yang diberikan kuasa untuk menguruskan ekonomi serta negara harus menerima hakikat ini namun rakyat perlu tahu akan batasnya.

“Kalau tidak ada kebebasan, tidak akan ada pencernaan karya-karya hebat dan agung baik dalam sastera, budaya atau politik. Semua itu tidak dapat dicernakan tanpa rasa bebas mengungkap dengan sebaiknya, tetapi apa batasannya?

“Batasannya adalah apabila kita menggunakan ruang untuk memecahbelahkan, menanam bibit permusuhan yang akan meruntuhkan sendi negara ini. Sebab itulah kita punyai tugas dan tekad politik untuk menyatakan batas yang diperlukan.

“Ia mungkin tidak disenangi oleh sesetengah pandangan terutama di barat, sebab itu saya katakan dalam era pascanormal yang disebut chaos, complex dan penuh dengan pertembungan itu menuntut kita juga memikir kaedah yang benar,” katanya.

Tegas beliau lagi, isu melibatkan 3R (agama, kaum dan raja) bukan untuk menakutkan atau menggambarkan seolah-olah ia tidak boleh ‘disentuh’ langsung.

Sebaliknya ia adalah untuk melindungi negara daripada perpecahan, teguran tak perlu hingga memecahbelahkan, menghasut dan menghina kaum, agama.

“… kalau bicara (contohnya) perlu ada pandangan tertentu (melibatkan soal 3R), itu tidak ada masalah. Jadi jangan digunakan hujah seolah-olah (isu 3R) tidak boleh disentuh (langsung), itu sama sekali tidak benar,” katanya.

Baca juga: Punya ramai nak keluarkan duit, KWSP terima hampir 3 juta permohonan hanya selepas seminggu diumum