Malaysia Dateline

Lebih ramai anggota ditempatkan di Batu Pahat sempena Op Selamat

Lebih ramai anggota polis akan ditempatkan di Batu Pahat menerusi Op Selamat 15/2019 yang bermula hari ini sehingga 12 Jun depan.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata usaha itu dibuat bagi mengurangkan kes kemalangan maut di daerah itu yang mencatatkan antara kadar tertinggi di negara ini.

“Sebanyak 53 kes kemalangan maut dicatatkan di Batu Pahat sepanjang tahun lepas yang kebanyakannya berlaku di jalan perbandaran manakala untuk Januari hingga April tahun ini, sebanyak 54 kes kemalangan maut dicatatkan,” katanya.

Mohd Khalil berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 peringkat negeri Johor, di Plaza Tol Skudai arah selatan, di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata berdasarkan rekod, penunggang motosikal merupakan penyumbang tertinggi kes kemalangan maut di Batu Pahat yang antara puncanya adalah sikap penunggang itu sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan komen dan reaksi netizen dalam laman sosial, laluan di sekitar Batu Pahat memerlukan beberapa penambahbaikan termasuk pencahayaan jalan.

Sementara itu, bagi mencapai matlamat mengurangkan kadar kemalangan menerusi Op Selamat 15/2019 itu, pihaknya juga mengubah lokasi operasi subtek iaitu pusat kawalan dan pemantau bagi trafik negeri Johor dari bandar raya ini ke Batu Pahat.

Beliau berkata Op Selamat 15/2019 akan melibatkan penugasan seramai 77 pegawai dan 475 anggota di seluruh negeri ini.

Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilaporkan berkata Batu Pahat merupakan antara daerah yang mencatatkan kadar kemalangan yang tertinggi bagi tempoh 2015-2017.

Beliau berkata untuk itu, kementeriannya akan berbincang dengan Majlis Daerah Batu Pahat, Pihak Berkuasa Tempatan dan juga Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mencari punca kemalangan jalan raya kerap terjadi di daerah itu khususnya di Jalan Ayer Hitam ke Batu Pahat melalui Kluang.